Apabila bencana banjir berlaku pada hari sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, proses pengurusan dan bantuan bencana berlaku dengan cukup terancang. Malah penubuhan pusat pemindahan juga berjalan pantas, jauh dari tempoh prosedur operasi standard yang ditetapkan, iaitu dua jam. Sarawak Voice.com menemui Menteri Pembangunan Masyarakat, Wanita dan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah, untuk soal jawab.

AkPFK-i4VmCtHpnj1s-4VZi5B2rBItE6Jrwbfrhfp3pp

S: Tahun Baharu Cina lalu, tragedi banjir melanda Kuching dan Bau?

J: Ya. Saya berada di kawasan. Saya sempat melakukan ziarah di Oya dan Dalat pada hari tersebut. Ketika itu, beberapa kampung di kawasan saya turut dinaiki air kira-kira setengah kaki kerana air sungai melimpah. Bagaimanapun ia tidak lama dan surut selepas itu. Saya memantau perkembangan banjir ini dari semasa ke semasa. 24 jam. Abang Samsuddin Pengarah Kebajikan memaklumkan kepada saya pada hari kedua itu, ada 22 Pusat Pemindahan telah dibuka dan bantuan sudah disalurkan.

S: Respon yang cepat daripada JKMNS!

J: Bukan sahaja Jabatan Kebajikan Masyarakat, malah semua pihak yang terlibat. Kami berkomunikasi secara baik dan segala arahan termasuk daripada Bilik Jawatankuasa Pengurusan Bencana sampai ke bawah. Saya hendak mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua petugas-petugas daripada semua agensi yang telah bertungkus-lumus memindahkan dan menguruskan mangsa banjir ke pusat pemindahan sejak 7 Februari sehingga lewat semalam. Mereka kerja “around the clock” tanpa putus dan tanpa mengira penat lelah.

S: Benar, walau sebenarnya terpaksa bekerja pada cuti umum?

J: Betul. Walaupun pada cuti umum, berhadapan kekangan staf, keletihan dan kurang tidur, mangsa banjir tetap diberi bantuan sewajarnya. Saya difahamkan ada anggota penyelamat yang pulang ke rumah selama empat lima hari ini untuk bersalin baju sahaja. Subhanallah!

AlOMiqx32kR-LPkwEe6xXlHOdV7WUIIt3YYCSRBk3gte

S: Datuk sendiri bagaimana?

J: Setiba dari Dalat, saya terus ke pusat pemindahan. Malangnya saya dimaklumkan pusat pemindahan pertama di Taman Malihah pada waktu itu sudah hampir kosong. Jadi saya terus ke pusat pemindahan Kampung Panglima Seman untuk melawat, bertanya khabar dan membantu apa yang patut. Ketika itu, jumlah mangsa ramai dan kami terpaksa membuka satu lagi pusat pemindahan iaitu di Kampung Pulo Hilir. Seperkara yang menarik, ketika kami sibuk di Pusat Pemindahan Kampung Semarang, Ketua Pusat Pemindahan, Puan Jamayah Sulaiman terpaksa bergegas balik kerana rumahnya turut dinaiki air.

S: Secara keseluruhan Datuk berpuas hati dengan proses pemindahan dan kebajikan mangsa?

J: Ya. Saya bersyukur ia dapat ditangani dengan baik. Koordinasi cukup baik walau ada kekurangan di sana sini. Yang penting semua mangsa selamat dan mereka dapat makan, pakai dan cukup. Saya percaya ia bermula daripada perancangan yang baik diikuti oleh latihan serta simulasi yang kita laksanakan. Bencana seperti ini boleh berlaku bila-bila masa, tetapi jika kita menanganinya secara tenang, insya-Allah ia akan dapat diatasi sebaik mungkin.

S: Ada beberapa kes pergaduhan…

J: ( Tersenyum). Ia kes terpencil. Saya jamin, tidak ada kes makan tidak cukup dan pesakit yang terabai. Malah kesemua mangsa dilengkapi dengan kit segera bencana yang kita sediakan bersama-sama pihak FAMA.

S: Soalan nakal Datuk. Ada suara nakal di luar sana yang mengatakan, hanya pihak yang menyokong BN sahaja yang dibantu?

J: ( Tersenyum). Nama pun suara nakal. Tidak benar sama sekali. Apabila melibatkan tragedi dan rakyat, politik kita tolak ke tepi. Ini bukan masanya. Malah saya berterima kasih kepada semua pimpinan politik — baik kerajaan mahupun pembangkang — kerana sudi menghulurkan bantuan termasuk melawat ke pusat pemindahan. Dua perkara ini tidak harus dan tidak perlu dipolitikkan. Pertama, kebajikan dan yang kedua pendidikan.

S: Terima kasih, Datuk.

J: Sama-sama.