Penambahan kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak memberikan kesan kepada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal berlangsung. Kerusi DUN bertambah daripada 71 kepada 82. Pertambahan 11 kerusi ini diyakini dapat memberikan kesan positif untuk pembangunan negeri Sarawak.
Hal ini dapat dilihat apabila kawasan yang padat dengan penduduk dapat dipecahkan kepada dua dan ini menyebabkan pemantauan pembangunan dan masalah-masalah dihadapi rakyat dapat difokuskan dengan lebih jitu lagi. Maka, pembangunan negeri dapat digerakkan dengan lebih dinamik lagi.
Kebanyakan kawasan DUN baharu merupakan kawasan luar bandar atau separa bandar mahupun pinggiran bandar. Di sinilah pembangunan dapat dirancakkan lagi dan fokus kawasan yang belum lagi menikmati kemajuan pesat seperti di bandar, dipercayai dapat dipercepatkan.
Implikasi Politik
Yang lebih memberikan kesan ialah landskap politik Sarawak yang diwarnai oleh beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) selama ini. Namun, pilihan raya negeri April 2011 mulai mengubah landskap politik Sarawak. Selama ini, BN merupakan kubu yang sangat kuat dan jarang-jarang dapat digugat.
Namun, pada pilihan raya 2011, Parti Tindakan Demokratik (DAP) berpesta kerusi dengan memperoleh 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga kerusi dan satu kerusi dimenangi calon Bebas. Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hampir tersungkur hanya bergantung hayat kepada pengundi bumiputera untuk terus bertahan.
Berdasarkan kemenangan memperoleh kerusi tambahan, DAP mula menggerakkan kempen untuk menembusi kawasan separa bandar dan luar bandar. Kempen memfokus ke kawasan luar bandar mulai menjadi igauan parti saingannya meskipun yang dibuat barangkali jalan batu berbanding dibuat pemerintah jalan berturap.
DAP mulai mengikiskan imej daripada parti diwakili Cina totok kepada parti yang yang mewakili pelbagai kaum. Transformasi politik DAP juga telah membolehkan ramai anak muda diberikan peluang untuk bertanding dalam pilihan raya bukan sahaja di peringkat nasional malah di peringkat negeri Sarawak.
Selama ini parti-parti politik gergasi yang menguasai politik negera dipersepsikan kurang memberikan tempat kepada anak-anak muda untuk bertanding, dibandingkan dengan parti DAP. Isu-isu yang dikemukakan juga dianggap kritikal dan dianggap sesuai dengan isu-isu permasalahan semasa rakyat.
PKR pula mulai berkempen untuk diterima di peringkat bandar dan luar bandar. Perhatikan sahaja Ali Biju yang menerobos kubu kuat BN di Krian yang selama ini kawasan di luar bandar yang tidak pernah terfikir jatuh ke tangan PKR.
Strategi BN dan Perebutan Kerusi?
Pemsempadanan semula dari satu aspek menguntungkan BN kerana banyak kawasan DUN baharu merupakan kawasan kubu kuat BN khususnya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB). Pengaruh akar umbi PBB bukan sahaja di Stakan, Gedong, Kabong, Tellian, tetapi juga bertapak teguh di Murum, Samalaju, dan Mulu.
Jadi, sebagai tulang belakang dan parti tunjang BN Sarawak dan memegang rekod tidak pernah kalah untuk belasan tahun kebelakangan ini, maka PBB mendapat lima kerusi baharu.
Kerusi PBB dijangka dipertandingkan di DUN Stakan, Gedong, Kabong, Tellian dan Bukit Goram dan diyakini akan dapat dimenangi nanti.Beberapa nama disebut-sebut termasuk nama wakil rakyat yang dijangka berpindah kerusi untuk bertanding salah satu kerusi baharu DUN tersebut.
Semangat perpaduan kuat dalam komponen BN dapat dilihat apabila kawasan akar umbi PBB aktif seperti di Samalaju, Mulu dan Murum. Namun, atas semangat perkongsian kuasa, kerusi baharu di Murum, Samalaju dijangka diserahkan kepada Parti Rakyat Sarawak (PRS) manakala Mulu dijangka diberikan kepada Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP). Murum dan Mulu dikuasai oleh pengundi Orang Ulu.
Kerusi Serumbu menjadi rebutan SUPP yang mendakwa ia milik SUPP walaupun sudah disempadankan semula, manakala pimpinan PBB Serumbu mendakwa mempunyai 3000 ribu ahli dan berhak diberikan kerusi tersebut. Ada yang berpendapat lebih baik diberikan kepada SPDP bagi jalan tengah.
Namun, difahamkan SPDP berminat untuk mendapatkan dua kerusi baharu, khususnya DUN Samalaju dan Mulu. Adakah SUPP berminat mendapat kerusi Serumbu kerana pengundi bumiputera dapat dijadikan deposit tetap untuk memenangi pilihan raya? Namun apabila berlaku rebutan, dikhuatiri undi protes berlaku dan ini boleh menyebabkan undi BN merosot atau tewas.
Namun langkah terbaik ialah memberikan kepada PBB. Sekiranya, Serumbu dilepaskan kepada PBB, bermakna PRS akan mendapat kerusi Bukit Goram.
Dijangkakan kerusi Batu Kitang akan diambil alih oleh SUPP. Atau mungkinkah Parti Rakyat Bersatu (UPP)? Apa pun, peluang untuk menang agak tipis dan diramalkan sukar untuk berdepan dengan DAP yang dijangka akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi Batu Kitang.
Kemenangan ini menentukan sejauh manakah pengundi Cina kembali menyokong kerajaan. Atau, sekiranya tewas, adakah kerana etnik Cina tidak percaya akan SUPP atau UPP untuk mewakili suara mereka?
Sesuai dengan agihan kerusi agar hanya satu kerusi BN dipertandingkan, mungkinkah Bukit Semuja akan diserahkan kepada SUPP? Hal ini kerana jumlah pengundi ialah Bidayuh (49.6 peratus), Iban (12.6 peratus), Melayu (15.4 peratus), Cina 18.6 peratus, Lain-lain (3.5 peratus) daripada 13,478 pengundi. Dijangka kerusi ini tidak mengalami masalah untuk dimenangi.
Kerusi Bukit Goram
Apabila persempadanan semula, Parlimen Kapit yang diwakili oleh parti PBB menjadi bertambah kerusi DUN baharu Bukit Goram, sebelum itu hanya ada kerusi Pelagus dan Katibas. PBB dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilihat mempunyai minat terhadap kerusi ini. PRS mendakwa Bukit Goram asalnya dari satu unit sebelum dipisahkan menjadi subunit dan terletak di kawasan DUN Belaga dan Baleh yang diwakili PRS.
Selain itu, beliau percaya dasar perkongsian kuasa BN dalam kalangan parti komponennya memberikan keyakinan yang tinggi kepada PRS untuk memenangi kerusi tersebut. Apabila terdapat desas-desus dan dikatakan kerusi baharu Murum dan Samalaju bakal diserahkan kepada PRS, maka secara automatik kerusi Bukit Goram diserahkan kepada PBB. Tambahan pula, PRS perlu fokus kepada kerusi Pelagus yang terpelanting dari PRS akibat tewas kepada calon Bebas.
Percaturan ini, masih lagi sukar kerana SPDP turut menuntut kerusi Samalaju dan Mulu, sedangkan Samalaju dikatakan bakal diserahkan kepada parti PRS. Sekiranya tidak ada kesepakatan dicapai dengan hati yang tulus antara parti komponen BN, maka kerusi Bukit Goram boleh terjejas dan berlakunya undi protes.
Ternyata, dalam hal percaturan dan penentuan kerusi Bukit Goram atau Serembu masih lagi menjadi teka-teki sama ada salah satu atau kedua-dua akan dimiliki PBB. Namun, apa-apa pun keputusan kesemuanya bergantung kepada budi bicara Ketua Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem untuk membuat keputusan demi memastikan BN mendapat kemenangan yang besar sebagaimana diharapkan.
Yang pasti formula pembahagian 5 kerusi kepada PBB, 2 PRS, 2 SPDP dan 2 SUPP tetap akan dilaksanakan oleh komponen BN Sarawak. Atau mungkinkah terdapat pengurangan dan pertambahan pada saat-saat akhir penamaan calon? – SarawakVoice.com