Pertahankan kedaulatan Beting Patinggi Ali

Sebuah kapal asing dipercayai milik negara China didapati mendekati Beting Patinggi Ali di kawasan perairan Sarawak.

Gambar kapal berkenaan dimuat naik dalam Facebook Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beberapa jam lalu.

Pada pertengahan 2009, editor dan jurugambar majalah Chinese National Geography menjelajah dan mengambil gambar di kawasan Gugusan Beting Patinggi Ali.

Tujuan mereka bukan sahaja untuk menulis dan mengambil gambar mengenai kekayaan dan kehidupan di dasar laut, malah memacakkan tanda kedaulatan kawasan itu pada 1 Mei 2009.

Berdasarkan gambar disiarkan, kawasan itu memang cantik, setanding kecantikan kawasan batu karang lain di dunia. Kini, nelayan laut di Miri dikatakan semakin takut mendekati kawasan perairan gugusan terbabit kerana ancaman dan ugutan kapal pengawal pantai negara China sejak Mei lalu.

Pengawal pantai dari China sentiasa berlegar dan memantau pergerakan nelayan kita di sekitar Beting Patinggi Ali. Sebenarnya, kapal asing terbabit mengawal kawasan itu sejak tiga tahun lalu. Setiap kali nelayan Sarawak hampiri kawasan itu, mereka pasti dihalau dan diugut pengawal pantai China. Pusat tangkapan ikan popular Kawasan itu juga adalah pusat tangkapan popular nelayan asing dari Vietnam dan Thailand, tetapi kini dikuasai nelayan China.

IMG_0175Kemunculan China sebagai kuasa besar dari segi ekonomi dan politik telah menyebabkan keseimbangan kuasa global terjejas. Untuk beberapa dekad, terutama dalam beberapa tahun ini, ketegangan berlaku di rantau ini. Kawasan Laut China Selatan terbabit turut dituntut Vietnam. Filipina, Brunei dan Malaysia. Tetapi hari ini, ancaman langsung China tidak dapat dielakkan.

Kita tidak boleh biarkan China bersultan di mata dan beraja di hati. Sebagai negara berdaulat, kita perlu tunjukkan kita juga ada maruah. Walhal, selama ini Beting Patinggi Ali milik kita kerana berada dalam perairan Malaysia. Bagi mereka yang arif mengenai sejarah Sarawak, Datuk Patinggi Ali adalah pemimpin masyarakat Melayu di Sarawak pada awal abad ke-19.

Beliau menentang kerajaan Brunei ketika pemerintahan Pengiran Mahkota dan Raja Muda Hashim antara 1837-1840. James Brooke melantik beliau sebagai ketua masyarakat Melayu pada 1841 dan begitu berjasa dalam mempertahankan pemerintahannya.

Beting berkenaan diberi sempena nama pemimpin terbilang itu. Apakah tujuan kehadiran kapal China itu di kawasan terbabit? Adakah ia sengaja dilakukan sebagai tindakan menguji atau sebagai tindakan provokatif? Mungkinkah keindahan dan kecantikan kawasan itu antara punca China mahu menceroboh dan menuntutnya? Atau kekayaan kawasan ini dari segi sumber minyak dan gas asli serta pelbagai jenis ikan menjadi punca ketamakan dan kerakusannya?

Sebagai kuasa besar, China tidak boleh amalkan prinsip, tujuan menghalalkan cara dengan bertindak sesuka hati terhadap negara kecil seperti Malaysia. Tidak masuk akal untuk China berbuat demikian kerana kawasan terletak 80 batu nautika dari Tanjung Baram, Sarawak itu berada di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).

Peruntukan UNCLOS 1982 menyebut negara berpantai seperti dijelaskan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, berhak menuntut kawasan EEZ dan pelantar benua sehingga 200 batu nautika. 2,000 kilometer dari China Beting itu terletak sekitar 2,000 kilometer dari Tanah Besar China.

Justeru, tiada sebab bagi China menghalau dan menghalang nelayan kita daripada menangkap ikan di kawasan terbabit. Lagipun, ia bukan kawasan ‘tuntutan bertindih’ antara Malaysia dengan negara lain.

Dalam memori kolektif masyarakat Sarawak, terutama di Miri, Beting Patinggi Ali, berada dalam perairan Sarawak dan menjadi hak milik mutlak negara ini. Tetapi, dengan perkembangan di Laut China Selatan dan tindakan agresif dilakukan China untuk menuntut kawasan yang begitu luas kebelakangan ini, sehingga mencetuskan konflik dengan Filipina, Vietnam dan Jepun, maka ia bukan sesuatu yang mengejutkan.

Apakah yang perlu dilakukan Malaysia untuk mempertahankan beting berkenaan? Meskipun sedar akan sensitiviti isu terbabit, kita faham, betapa penting ia ditangani dengan bijaksana dan rasional berlandaskan undang-undang sedia ada supaya tidak menjejaskan hubungan diplomatik dan perniagaan dengan China serta menimbulkan konflik tajam sehingga merugikan banyak pihak.

Sebagai tanda ia milik kita, kerajaan perlu pacak Jalur Gemilang di pulau itu. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan Tentera Laut Diraja Malaysia perlu terus meronda, memantau dan mengawasi kawasan itu supaya kapal pengawal China tidak menceroboh dan seterusnya menuntut pulau itu sebagai hak milik mereka.

Kita perlu terus menghantar nota bantahan diplomatik supaya ia tidak terlepas daripada genggaman kita. Pastikan kedaulatan Beting Datuk Patinggi Ali tidak diceroboh dan terus dipelihara. – SarawakVoice.com