DAP perlu cermin diri

Seorang wakil rakyat DAP, baru-baru ini, mengkritik kegagalan kerajaan tangani masalah banjir di Sarawak.

Hal ini membuktikan kurangnya keprihatinan Putrajaya terhadap rakyat Sarawak, dakwa Ahli Parlimen Stampin Julian Tan.

“Bagi kerajaan untuk tidak memberi keutamaan keperluan rakyat, melengah-lengahkannya, dan memberi syarat tertentu terhadap langkah penebatan banjir atas alasan kedudukan kewangan yang tidak memungkinkan, membuktikan bahawa kepentingan rakyat tidak dipedulikan, terutama mereka yang yang dilanda banjir,” kata beliau yang memetik jawapan kerajaan, hanya akan melaksanakan projek fasa dua tebatan banjir pada 2016-17. Itu pun dengan syarat kerajaan dapat menanggung kos RM584 juta.

Bagi mereka yang arif tentang langkah yang telah diambil kerajaan, termasuk menghulurkan bantuan yang diperlukan, itu merupakan tuduhan liar.  

Tidak cukup dengan itu, Tan juga mengkritik majlis kerajaan tempatan kerana tidak menyelenggara dan menaik taraf sistem saliran di Kuching.

Mengikut beliau, kejadian banjir di Kuching, berpunca daripada sikap kerajaan BN Sarawak yang tidak mengendahkan penambahbaikan prasarana di bandar utama seperti Kuching dan Sibu hingga mengakibatkan berlakunya banjir.

Tetapi lupakah DAP bahawa semua kawasan itu sebenarnya diwakili oleh DAP?

Untuk menuding jari terhadap kerajaan, dan menuduh tidak mengambil langkah proaktif, adalah mudah. Hakikatnya, kerajaan negeri dan persekutuan telah mengambil langkah konkrit bagi menangani masalah berkenaan, dari segi jangka panjang.

Malah, Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Hajah Fatimah Abdullah, sentiasa turun padang — membuktikan keprihatinan beliau dan kerajaan dalam menangani isu terbabit. Kebajikan rakyat sentiasa diberi keutamaan dengan memberi mereka tempat untuk berlindung, selain menyediakan makanan yang diperlukan.

AkPFK-i4VmCtHpnj1s-4VZi5B2rBItE6Jrwbfrhfp3pp

Hakikatnya, bagi mereka yang tahu perkembangan di Pulau Pinang, pasti tidak mudah menelan kenyataan wakil rakyat DAP itu. Rakyat Sarawak mungkin tidak tahu bahawa di Pulau Pinang, kerajaan di bawah pentadbiran DAP mengabaikan pembangunan rakyat.

Tidak berapa lama dahulu kita tentu ingat bagaimana ADUN PKR Pulau Pinang, Dr. Norlela Ariffin menangis kesedihan semasa sidang DUN Pulau Pinang kerana luahan dan persoalannya mengenai pembangunan penduduk kawasan Penanti diabaikan.

“Kawasan saya kawasan kampung yang terpinggir, saya bawa suara orang kampung…yang mendengar suara saya Padang Kota saja,” luahnya sambil menangis.

Dr Norlela Ariffin (PKR-Penanti) berkata, semua 28 kawasan di DUN Penanti ialah kampung yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti pengangkutan, mesin ATM dan banyak lagi.

“Saya sedih sangat…sebab kerajaan ini (Pulau Pinang) sepatutnya…DAP adalah satu parti yang sosial demokrat…apa yang saya nak cakap dengan orang kampung bila balik, tanya pasal sungai jeti pun tak jawab,” katanya.

Bagaimana rakyat di Sarawak dapat percaya dengan janji manis DAP?  Jadi, DAP mungkin perlu mencermin diri terlebih dahulu, daripada membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab. – SarawakVoice.com