LUNDU: Kementerian Pertahanan akan menubuhkan Briged Sempadan di Sabah dan Sarawak selepas kajian operasi lengkap mengenainya lengkap dilaksanakan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, penubuhan briged tersebut adalah untuk meningkatkan keupayaan tempur dan mengimbangi beban tugas pasukan-pasukan infantri di kedua-dua negeri tersebut.

Sabah dan Sarawak berkongsi sempadan sejauh 2,000 kilometer dengan wilayah Kalimantan, Republik Indonesia.

Markas briged yang akan berpangkalan di Bintulu ini akan mengandungi lima batalion Rejimen Sempadan di bawahnya dan akan ditempatkan dari utara hingga selatan bagi mengawasi perbatasan Kalimantan Barat dan Timur.

” Pada masa ini, briged tersebut akan beroperasi di markas sementara di Kem Muara Tuang di Kuching,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Pos Gabungan Malaysia-Republik Indonesia di Biawak, pagi tadi.

Tambahnya, pos gabungan tersebut menjadi contoh bagaimana dua angkatan tentera bersama-sama menjaga sempadan negara daripada ancaman musuh terutamanya Daesh.

Ujarnya, menghalang elemen keganasan dijadikan asas utama kedua-dua cabang pertahanan negara ini berbanding elemen lama seperti penyeludupan dadah, manusia dan senjata.

Hishamuddin kemudian mengadakan lawatan ke Kampung Jangkar di Lundu untuk program Jiwa Murni CAP ATM.

Dalam program tersebut ATM menyediakan perkhidmatan perubatan asas termasuk klinik bergerak selain aktiviti sampingan lain seperti pameran senjata, demonstrasi memasak, promosi pengambilan askar wataniah dan lain-lain.

Mengulas lanjut, penubuhan Briged ke-31 ini akan membolehkan 1,021 anggota wataniah diserap masuk sebagai askar sepenuh masa.

” Mereka akan menikmati imbuhan dan manfaat yang sama seperti askar tetap termasuk gaji bulanan, elaun dan kemudahan-kemudahan lain.

Jumlah ini jelasnya, akan ditambah secara berperingkat bagi memenuhi dan mencapai kekuatan penuh keseluruhan briged iaitu seramai 5,626 anggota.

” Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh kawalan perbatasan negara khususnya di Sarawak tetapi secara tidak langsung melahirkan lebih 5,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan mahir selok-belok tempatan,” tambahnya lagi.

Hishamuddin dan timbalannya, Datuk Wira Mohd Johari Baharum kini dalam rangka lawatan kerja rasmi tiga hari di Sarawak.

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan
Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor. – SarawakVoice.com