KUCHING: Kementerian Pertahanan akan memperoleh dua pesawat tempur ringan hujung tahun ini bagi memperkukuh elemen pertahanan di Sabah dan Sarawak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hashimuddin Tun Hussein berkata, selain pembelian dua pesawat tersebut, pihaknya juga menaik taraf tahap persenjataan pesawat Hawk, selain pada helikopter Nuri, EC-725, LOH 109, dan Black Hawk.

” Dua pesawat tersebut dibeli daripada Macdonald Douglas dan dilengkap dengan sistem persenjataan yang moden dan terkini,” katanya pada sidang media sejurus selepas Majlis Pertemuan Bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Penrissen di sini.

Pada majlis tersebut beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk membina 4,000 unit Rumah Keluarga Tentera di 11 lokasi di seluruh negara sepanjang Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Menurutnya, dua pangkalan hadapan yang diumumkan sebelum ini, termasuk sebuah kapal yang diubah suai sebagai pangkalan terapung juga telah sedia untuk digunakan.

” Malah sebuah pangkalan helikopter tempur juga telah diwujudkan di Lahad Datu manakala Pangkalan Udara TUDM di Labuan dinaik taraf,” jelasnya lagi.

Hishamuddin menambah, satu batalion infantri baharu turut diwujudkan di Sabah, manakala satu kor pasukan kereta tempur bersenjata 8×8 Gempita kini ditempatkan di Tawau.

Jelas Hishamuddin, pengukuhan persenjataan dan anggota di Sabah ini dijangka akan mengimbangi kekurangan yang dialami semasa Op Daulat di Lahad Datu.

” Pada masa yang sama, proses pertahanan ini akan turut membantu memperkukuh keselamatan di Sarawak dan negara jiran, Negara Brunei Darussalam.” – SarawakVoice.com

Ap7Q_I8QTa-h_3kXlu4dw5mqwZFMjalFDa8E1QOYQdaI (1)