KUCHING 11: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion untuk membina 4,000 unit Rumah Keluarga Tentera (RKAT) di 11 lokasi di seluruh negara sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, daripada jumlah tersebut, RM160 juta diperuntukan bagi pelan pusingan pertama tahun ini.

Katanya, daripada jumlah 4,000 unit rumah di bawah program itu, sebanyak 917 unit melibatkan pembinaan di lima lokasi di Sarawak iaitu Kem Sri Miri Fasa 1 (139 unit) dan Kem Sri Miri Fasa 2 (114 unit).

“Tiga lagi lokasi RKAT di Sarawak ialah Kem Pakit di Sri Aman (254 unit), Kem Batu 10, Sibu (156 unit) dan Kem Semenggo di Kuching (254 unit).

“Pembinaan 917 unit RKAT ini adalah berjumlah RM320 juta dan melibatkan RM63 juta daripada pelan pusingan pertama 2016 yang berjumlah RM160 juta,” katanya dalam ucapan ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Penrissen di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wira Mohd. Johari Baharum; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dr. Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima Angkatan Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor; Panglima Medan Pemerintahan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Zaki Mokhtar dan Asisten Panglima Bahagian Pasukan Simpanan, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Dalil Basir.

Menurut Hishammuddin, pada masa sama, sebanyak RM18.357 juta turut diperuntukkan untuk Projek Senggaraan RKAT di seluruh negara termasuk RM0.57 juta diberikan untuk menyelenggara tiga blok RKAT di Kem Penrissen.

DI bawah Program Strategi Lautan Biro (NBOS) ‘My Beutiful Malaysia 2016’ pula, peruntukan sebanyak RM3.57 juta disalurkan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membaik pulih dan menyelenggara kuarters milik ATM di Sarawak.

“Selain inisiatif RKAT, kementerian akan menaik taraf Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) dan Pusat Pergigian Angkatan Tentera (PGAT) di Kem Penrissen kepada Poliklinik membabitkan kos berjumlah RM35 juta.

“Penaiktarafan kemudahan kesihatan ini diharap dapat menampung seramai 25,000 pesakit, selain memberikan perkhidmatan kesihatan dalam suasana yang lebih kondusif untuk anggota dan keluarga serta pesara tentera di Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya, penaiktarafan kemudahan menggabungkan dua perkhidmatan ini iaitu rumah sakit dan pusat pergigian di bawah satu bangunan juga dapat mrnjimatkan kos pembinaan serta operasi bagi RSAT dan PGAT.

Hishamuddin turut mengumumkan sumbangan peribadi masing-masing berjumlah RM50,000 untuk tabung kebajikan Kem Penrissen dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). – SarawakVoice.com

Au-eviwsWLVkxynTRPctZiqWheKQPOa35JJK9e5gNnTC