KUCHING: Kerajaan akan memastikan tidak ada mana-mana pihak menceroboh tanah-tanah di negara ini dan mendakwa ia milik mereka.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kedaulatan negara harus dipertahankan dan oleh itu, sempadan negara perlu dikenal pasti.

Atas alasan itu katanya, selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Majlis Keselamatan Negara, Shahidan hari ini mengadakan lawatan ke sempadan laut dan darat di negeri ini bagi melihat sendiri sempadan Sarawak-Kalimantan.

” Malah saya kena ambil tahu semua perkara, terutama perkara yang menimbulkan keresahan rakyat negeri Sarawak berkaitan dengan sempadan laut dan darat mereka,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Banjir SK Matu Baru, awal pagi tadi.

AmKwsbJJ0Qke4daPu9kns1-PsATXoQTpkhi2WBA5MoFI

ArmUSRffcdu6NhTYiVo53sXDfhicrcWa662pATqg-U-_

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Zahari Alias, Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Datuk Ogu Salim Omar, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia( APMM), Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini wujud pertikaian berkaitan sempadan negara yang dibangkitkan oleh negara jiran, hingga menyebabkan kematian.

Terkini adalah berkaitan penenggelaman kapal nelayan Sarawak oleh Polis Marin Indonesia yang mengakibatkan dua nelayan dari Beladin, Sarawak hilang serta isu pembinaan rumah api di kawasan yang didakwa berada di dalam sempadan Indonesia.

Berkaitan dengan banjir yang melanda Sarawak, Shahidan menegaskan semua mangsa banjir perlu berdaftar dengan pihak berkuasa sama ada mereka berpindah ke pusat pemindahan atau tidak.

” Rekod dan dokumentasi ini akan memudahkan kita melakukan pelbagai urusan berkaitan, bukan setakat untuk membayar wang ihsan sahaja,” katanya sambil menegaskan arahan berpindah juga harus diutamakan atas alasan keselamatan.

Menurutnya, setakat ini beliau berpuas hati dengan tindak balas pasukan penyelamat yang bertindak serta-merta ketika bencana berlaku.

” Malah mereka berusaha tiba ke lokasi selewat-lewatnya dua jam selepas insiden,” katanya.

Berkaitan aset menyelamat dan bantuan bencana, Shahidan yakin tidak timbul sebarang masalah berikutan semua aset yang dimiliki oleh pelbagai agensinakan digunakan seoptimum mungkin.

” Jika wujud kekurangan, kita akan menyewa daripada orang awam. Aset-aset mereka ini akan menambah baik apa yang kita perlukan dan masalah selesai,” katanya. – SarawakVoice.com