BINTULU :  Bintulu Sentral gempar seketika pagi ini apabila seorang gadis Vietnam berusia 26 tahun yang tertekan dari segi emosi, cuba meragut nyawa sendiri dengan terjun dari bangunan kedai.

Namun, cubaan bunuh diri di sebuah kedai terbabit gagal apabila pihak Bomba dan Penyelamat berjaya memujuk wanita itu.

Drama singkat itu berjaya menarik perhatian orang ramai di bandar ini.

Setelah menerima panggilan telefon sekitar pukul 8.35 pagi, empat orang anggota keselamatan Balai Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu diketuai  Hashim Morshidi bergegas ke kedai terbabit  bersama sebuah jentera.

Anggota terbabit mendapati  wanita Vietnam yang dikenali sebagai Iran Thi Kim Yen berada di atas awning atap depan kedai tersebut, dan sesudah berjaya dipujuk, turun ke atas jentera yang dirapatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Di-Hata Gobel berkata, bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memujuk wanita terbabit supaya turun dari atap itu.
“Pada mulanya wanita terlibat tidak termakan pujukan, tetapi lama-kelamaan dia bersetuju untuk turun dari tempat tinggi itu.

Proses memujuk mangsa mengambil masa kira-kira 10 minit sebelum wanita terlibat turun dan operasi ditamatkan.

Wanita itu kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. – SarawakVoice.com
IMG-20160211-WA0000