KUCHING: Kerajaan memberi jaminan bahawa fokus dan faktor keselamatan negara terutama di Sarawak tidak akan terjejas di sebalik kekangan ekonomi yang melanda.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, beberapa cadangan telah diteliti di peringkat Kementerian Pertahanan dan di peringkat Angkatan Tentera Malaysia dan ia juga turut mengambil kira soal keselamatan negeri ini.

” Saya beri jaminan, kekangan kedudukan ekonomi negara hari ini tidak akan sama sekali menjejaskan tugas utama kita iaitu untuk menjamin keselamatan Sarawak.

” Keduanya, apa jua aset yang telah pun kita rancang sama ada Rancangan Malaysia ke-11 ataupun untuk tahun 2016, untuk Sarawak ini tak terjejas,” tegasnya kepada media selepas majlis pemakaian pangkat Brigedier Jeneral Kehormat kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem di Pejabat Ketua Menteri di sini pagi tadi.

Pengurniaan pangkat ini berikutan pelantikan Tan Sri Adenan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAPAW) Negeri Sarawak.

Apeljg3tDgU1tbBuAMniAcuIowou6woRNZdzqpv5O75j

Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd Zin,
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani.

Menurutnya lagi, komitmen ini penting bagi memastikan kedaulatan, keselamatan, dan maruah Sarawak dan rakyatnya sentiasa terjamin.

” Antara perancangan tersebut termasuklah dalam hal kebajikan dan sosioekonomi anggota, veteran, wataniah dan keluarga mereka.

Kata Hishamuddin, memiliki aset semata-mata adalah tidak memadai jika semangat anggota tidak berada dalam keadaan yang terbaik dan selesa.

” Oleh itu, kerajaan mempertimbangkan kebajikan serta sosioekonomi anggota terus ditingkatkan.

” Ini termasuk dalam hal pengangkutan anak-anak tentera ke sekolah, yang akan menggunakan bas, bukannya trak tiga tan, selain menaik taraf kem dan perumahan,” katanya.

Jelasnya, ini penting bagi memaklumkan secara telus kepada orang ramai bahawa kerajaan serius dalam menjaga kebajikan dan sosioekonomi anggota, veteran, wataniah dan keluarga mereka dalam keadaan himpitan ekonomi hari ini.

Hishamuddin dalam rangka lawatan tiga hari ke Sarawak, termasuk ke sempadan Sarawak-Kalimantan, esok.- SarawakVoice.com

AoMpdSPLg_Ii8wcgAuqEH-yX1USnRdlUCymtUi46pkq7