Dua lelaki gagal rompak mesin ATM

KUCHING: Cubaan dua lelaki untuk merompak sebuah mesin teler wang automatik (ATM) di sini, awal pagi tadi gagal apabila usaha tersebut berjaya dihidu oleh pengawal bertugas di bangunan bersebelahan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Ernest John, dalam kejadian di antara jam 2.30 hingga 3.00 pagi itu, dua lelaki dipercayai cuba mengumpil mesin wang milik Standard Chartered Bank di Cawangan Wisma Bukit Mata, dekat sini.

“Bagaimanapun usaha itu gagal apabila peralatan yang mereka gunakan terjatuh, dan mewujudkan bunyi bising dan menimbulkan syak kepada seorang anggota Polis Bantuan Lembaga Hasil Dalam Negeri yang bertugas di bangunan sebelah.”

Hasil pemeriksaan oleh anggota terbabit, katanya, mendapati pintu bahagian belakang mesin tersebut telah terbuka manakala kesan umpil terdapat pada bahagian pengeluaran resit.

” Pengadu yang juga anggota polis bantuan terbabit turut mendakwa melihat dua lelaki dipercayai saspek berulang alik dari mesin tersebut ke kereta Proton BLM berwarna perak, yang diparkir tidak jauh di situ.

Kata, Ernest, polis masih menyiasat kes tersebut memandangkan tidak ada sebarang petunjuk manakala kamera litar tertutup gagal merakam dengan jelas nombor plat kereta penjenayah.

” Kita masih menunggu kebenaran ibu pejabat bank tersebut di Kuala Lumpur untuk mendapatkan visual lanjut daripada kamera pada mesin berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat hingga menyebabkan kerugian. – SarawakVoice.com

ApNYjvW70Bgukp9-LGn57NRlgnMQFw59M3fjP31VbsN7