PM: Beri fokus kepada rakyat, bukan protokol

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri mahu penganjur majlis yang dihadirinya memberi fokus kepada rakyat, bukannya protokol

“Saya faham sekiranya ada protokol yang perlu diikuti, tetapi di mana boleh, kita kurangkan persiapan seperti karpet merah, hidangan istimewa dan sebagainya. Fokus utama kita adalah rakyat, bukan protokol,” katanya.

Datuk Seri Najib Razak berkata, setiap lawatan kerja yang dilakukan, adalah untuk bersama dengan rakyat, mendengar masalah mereka dan mencari jalan penyelesaian bersama.

Walau bagaimanapun, mengikut Najib, ada beberapa perkara yang beliau yakin kita boleh lakukan dengan lebih baik lagi berkaitan dengan lawatan kerja serta majlis rasmi yang beliau hadiri.

Beliau menyatakan, pada 6 Januari lalu, dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pertama bagi tahun 2016, beliau telah mengingatkan Kabinet dan kementerian-kementerian untuk membelanjakan peruntukan yang diberi secara berhemah.

“Ini merangkumi perbelanjaan yang digunakan ketika sambutan lawatan kerja serta majlis rasmi bersama saya atau menteri-menteri lain. Berdasarkan pemerhatian saya melalui lawatan-lawatan kerja yang saya lakukan baru-baru ini, saya dapat lihat masih ada perbelanjaan yang boleh kita kurang atau elakkan.” – SarawakVoice.com