Meraikan Tahun baharu Cina 2016

Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Hao. Bu Bu Gao Sheng. Selamat menyambut Tahun Baharu Cina 2016. Tiba lagi musim perayaan, semua ahli keluarga berkumpul, ramai kawan lama pulang bersama-sama meraikannya.

Tua muda miskin kaya yang jauh yang dekat semua akan meraikan Tahun Baharu Cina. Masing-masing punyai cara tersendiri untuk meraikannya. Pelbagai cerita mengungkit kenangan masa lalu, termasuk cerita-cerita sepanjang tahun lalu, dan sasaran matlamat tahun baharu kedengaran. Semuanya mengharapkan tahun yang lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Hari pertama, chu yi (初一) Tahun Baharu Cina 2016 adalah pada 8 Februari 2016. Perayaan yang disambut selama 15 hari ini dipercayai mencerminkan keseluruhan hari-hari berikutnya sepanjang tahun. Setiap hari mempunyai makna yang tersendiri.

Banyak juga tabu mengikut tradisi sambutan tahun baharu masyarakat Cina. Tidak menyapu, tidak membuang sampah, tidak bergaduh, tidak meminjamkan duit kepada orang lain mahupun menagih hutang, melafazkan kata-kata yang baik-baik sahaja, dan sebagainya. Cina percaya mengeluarkan kata-kata yang tidak baik mahupun dalam zaman IT ini menyebarkan mesej yang tidak baik hanya akan membawa nasib tidak baik kepada diri sendiri.

Lazimnya, suku etnik Cina yang berbeza mempunyai keunikan tradisi kebudayaan dan cara sambutan yang berbeza. Misalannya, Foochow  makan so mien (‘mi panjang’) pada hari pertama tahun baharu simbolik panjang umur. Hari kesembilan merupakan hari terpenting bagi suku Hokkien meraikan Maharaja Syurga atau lebih dikenali dengan sebutan Pai Ti Kong (拜天公).

Saat-saat menunggu chu xi (除夕) iaitu makan malam sebelum chu yi sebenarnya merupakan waktu yang paling teruja. Banyak wajah yang dikenali, tetapi lama tidak jumpa akan kelihatan. Pelbagai perkara yang ingin diceritakan, tetapi masa begitu mencemburui semua. Kegembiraan boleh kelihatan pada setiap wajah. Yang lebih advance mungkin mempunyai perancangan yang lebih tersusun menerusi WhatsApp group bila dan di mana bertemu.

Tidak kurang juga ada peniaga yang cuba mengambil kesempatan dengan menaikkan harga. Permintaan terhadap ikan, udang, ketam, ayam, cendawan, kubis, dan sebagainya pasti meningkat. Tidak kurang juga muncul produk-produk yang hanya akan dijumpai setahun sekali seperti limau mandarin, kuaci, niang gao, dan macam-macam lagi yang nama yang tidak mungkin dapat saya terjelmahkan satu per satu ke dalam bahasa Melayu.

Wujud juga peluang perniagaan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina. Suatu pendekatan yang merugikan perniaga sendiri jika mereka menaikkan harga kerana lebih ramai memilih untuk berbelanja dengan berhemah pada perayaan kali ini.

Mungkin lebih baik strategi meningkatkan kuantiti jualan daripada cubaan meningkatkan margin keuntungan daripada setiap item. Mereka yang mempunyai lebih banyak pengetahuan pasti akan ada kelebihan kerana mereka tahu apa sebenar yang dicari pembeli – tidak semestinya sesuatu yang mahal atau mewah tetapi mengikut keperluan misalannya semudah seperti jual tebu pada hari kelapan perayaan.

Tahun ini juga merupakan tahun monyet mengikut kalendar Cina yang mempunyai 12 zodiak. Banyak buku fengshui yang mengongsikan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Tahun baharu sudah pasti perkiraannya berbeza sambil memberikan nasib yang berbeza kepada setiap individu.

Sesetengah individu akan mempunyai nasib yang lebih baik tetapi tidak kurang juga yang terpaksa mengharungi liku-liku hidup yang lebih mencabar. Secara tradisinya rata-rata mengambil kesempatan sembahyang mengikut kepercayaan masing-masing untuk mendoakan yang terbaik untuk diri, keluarga dan rakan-rakan mereka.

Mengimbas kembali cara sambutan Tahun Baharu dalam sedekad lalu, banyak juga pembaharuan yang boleh dilihat. Generasi baharu memilih mengambil kesempatan cuti Tahun Baharu Cina untuk pergi melancong. Kemunculan e-kad telah menggantikan kad-kad ucapan dahulu yang perlu dipos. Keseluruhanya peningkatan taraf hidup masyarakat Malaysia telah merubah cara sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Dahulunya ketibaan perayaan ini paling disukai anak-anak kerana dapat pakaian baharu dan angpow. Senario pada zaman kini mungkin sudah berbeza terutamanya pakaian baharu dibeli dari semasa ke semasa. Mungkin juga sesuatu yang dirindui oleh masyarakat Cina ialah tradisi budaya bermain mercun dan bunga api yang telah ditegah oleh kerajaan.   

  Apa-apa pun tahun baharu ini merupakan harapan baharu kepada kita semua. Cara pemikiran dan kesungguhan kita sendiri yang akan menentukan hala tuju dan kejayaan kita.

Sama-sama kita berfikiran positif dan berusaha lebih gigih untuk memperoleh kehidupan yang lebih baik.

新年的意思就是新的一年,好事放心头,坏事放水流,风雨总会有,我们携手相伴一路相随,一起守护我们的未来与梦想,我祝各位心想事成,事业风生水起,身体健康平安,家人富贵吉祥,孩子聪明乖巧,钱多多,爱多多。- SarawakVoice.com