Mangsa bah meningkat 5017 orang

KUCHING: Bermula jam 4 pagi tadi, beberapa pertempatan rendah termasuk kampung-kampung sekitar Sungai Sarawak mengalami sekali lagi fenomena air pasang besar.

Limpahan air pasang besar ini yang diburukkan dengan hujan sekejap-sekekap menyebabkan sebahagian daripada perkampungan di bandar raya ini dan kawasan rendah di Matang, Batu Kawa dan Bau tenggelam.

Sehingga jam 5.30 pagi tadi, paras air di kebanyakan kawasan bukan sahaja melepasi paras bahaya malah mencecah dua meter untuk beberapa kawasan di Seberang Hilir Petra Jaya.

Jurucakap Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Negeri Sarawak, Siti Huzaimah Ibrahim berkata, setakat jam 5.30 pagi tadi, sebanyak 5,017 mangsa banjir daripada 1,405 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga jam 5.30 pagi ini.

Malah sebanyak dua pusat pemindahan baharu telah dibuka awal pagi ini iaitu Surau Darul Fadzillah Kampung Gita Laut dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah, Serian menjadi 21 pusat pemindahan di Kuching, lima di Bau dan satu di Serian setakat ini.

Jumlah ini meningkat dengan begitu cepat berbanding jam 8.00 malam tadi, sekitar 3,230 mangsa banjir daripada 829 keluarga dipindahkan berikutan fenomena tersebut.

Warga Kuching dan Bau akan sekali berhadapan fenomena yang sama pada petang ini, dengan air pasang raja dijangka mencecah 6.2 meter. – SarawakVoice.com