KM: Banjir di Kuching terkawal

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini memberi jaminan situasi banjir di negeri ini adalah terkawal dan dapat ditangani dengan baik.

Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Taklimat Banjir dan Tanah Runtuh di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia, dekat sini pagi, Adenan berkata, banjir kali ini dapat ditangani dengan baik disebabkan koordinasi cemerlang dan kerjasama erat semua pihak yang terlibat.

” Saya amat berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan dan setakat hari ini tiada laporan kecelakaan nyawa ataupun rumah dibawa arus banjir dilaporkan.

Malah, katanya, sistem baraj yang dilaksanakan di Sungai Sarawak juga berfungsi dengan baik dalam mampu mengawal kenaikan paras air,” katanya.

Pada banjir petang semalam dan pagi ini, jumlah air yang bertakung di Sungai Sarawak adalah melebihi daripada kadar air laut, malah melimpahi kadar ketinggian pintu baraj itu sendiri.

20160209204743Kata Adenan lagi, sehingga minggu depan, air pasang dan hujan tetap berlaku, tetapi diramalkan tidak seteruk dua tiga hari ini.

Berkaitan dengan jalan-jalan yang terjejas kerana banjir dan tanah runtuh, beliau memaklumkan kerja-kerja baik pulih akan dilakukan serta-merta, dan setakat hari ini, semua jalan yang terjejas telah dapat dilalui dengan kenderaan.

Difahamkan banjir dua hari ini menyebabkan 29 jalan rosak dan 38 kejadian tanah runtuh, yang menelan kos baik pulih sehingga lebih RM23 juta ringgit.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan memberikan wang ehsan, beliau menegaskan bahawa perkara itu bukan keutamaan ketika ini.

” Kita sedang memberi tumpuan kepada proses menyelamat dan akan mempertimbangkan dana ehsan kemudian.

” Jika ada, ia akan hanya diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Morshidi Ghani dan Timbalannya, yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri, Datu Misnu Taha.

Kuching sekali lagi dijangka mengalami air pasang besar setinggi 8.2 meter pada jam 5 petang ini.

Kali terakhir Kuching dilanda banjir buruk adalah pada tahun 2004. – SarawakVoice.com