Isu-isu politik yang menggelegak di Sarawak

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem pada 29 Januari (2016) yang lalu di suatu majlis di DUN N8. Satok telah melakukan suatu kejutan dengan menjawab teka-teki bilakah PRN-11 Sarawak dengan mendedahkan penamaan calon pada 18 April dan hari mengundi pada 30 April 2016.

Memetik kata-kata beliau, “Tidak perlu nak polah spekulasi agik, tarikh pilihan raya 30 April 2016. Nomination 18/4, polling 30/4”.). Mungkin ada yang mempersoalkan hak KM berkata demikian tetapi itu sebenarnya juga boleh jadi menggambarkan tahap kesiapsiagaan dan keyakinan beliau bersama-sama dengan jentera BN untuk menghadapi PRN-11 Sarawak.

Persoalannya, adakah parti-parti politik di Sarawak benar-benar telah bersedia menghadapi pilihan raya negeri. Apakah isu-isu prioriti di Sarawak yang telah dan perlu mendapat perhatian?

Pastinya tiada yang mahu terlepas pandang sesuatu yang penting mahupun terlebih yakin dalam sesuatu hal. Paling menjengkelkan adalah parti-parti politik yang hanya kelihatan pada musim pilihan raya ini dengan pelbagai retorik politik yang memikat hati, tetapi realitinya tiada apa-apa yang boleh mereka lakukan.

Satu-satunya isu politik dalaman BN Sarawak yang dilihat belum ada penyelesaian ialah pengagihan kerusi. Sekiranya berlaku pemberian kerusi kepada calon yang bukan daripada parti komponen BN, nescaya akan berlaku huru-hara dalaman BN Sarawak. Ini pasti menjejaskan potensi kemenangan semua calon BN termasuk daripada PBB kerana tidak mungkin mereka tidak memerlukan bantuan dan sokongan daripada parti-parti komponen di kawasan masing-masing.

Contoh insiden calon BN Pasir Mas menarik diri untuk memberi laluan kepada Ibrahim Ali pada PRU ke-13 yang lepas cukup jelas memberi kesan yang begitu besar terhadap semua kerusi BN di seluruh Malaysia apabila dijadikan modal kempen lawan politik mereka.

Begitu pun isu-isu sosioekonomi yang dikaitkan dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan memberi kesan langsung yang lebih besar terhadap masyarakat. Penghapusan subsidi minyak dan pengenalan GST khususnya telah dilihat sebagai punca peningkatan kos sara hidup secara mendadak dan penduduk di kawasan bandar paling terjejas.

Meskipun kemelesetan ekonomi dunia menyumbang kepada keadaan semasa di Malaysia, kedua-dua isu berkenaan dilihat sebagai punca utama. Tidak mungkin kerajaan akan memansuhkan GST meskipun kerajaan baru mengambil alih berdasarkan keadaan semasa ekonomi negara. Namun, tidak mustahil boleh dibawa ke meja rundingan untuk mencari jalan penyelesaiannya seperti cara bagaimana pendapatan menerusi cukai GST tersebut dibelanjakan mahupun dikurangkan peratus caj GST tersebut.

Kegawatan ekonomi memaksa semua pihak berhati-hati dalam perbelanjaan. Kejatuhan nilai ringgit menyebabkan pemborong enggan memberikan perkhidmatan kredit kepada peruncit kerana sebarang kejatuhan nilai ringgit merupakan kerugian tambahan kepada mereka.

Rata-rata rakyat Malaysia yang berharta pula lebih cenderung memilih untuk menabung sahaja wang mereka daripada mengambil risiko melaburkannya.

Tidak kurang penting adalah kontroversi yang tersebar dalam media sosial yang secara terus terang rata-rata kita pun sering keliru dan tidak tahu siapa yang benar ataupun berbohong. Apa yang kelihatan adalah cerita yang lebih dramatik biasanya lebih popular dan viral dalam media sosial.

Yang pasti hanyalah situasi semasa mengeruhkan suasana ekonomi negara terutamanya menjejaskan keyakinan pelabur dari dalam dan luar negara melabur duit mereka.

Kelantangan KM Sarawak dalam beberapa isu khususnya penggunaan kalimah ‘Allah’, panggilan Cina sebagai “pendatang”, pembalakan haram, bantuan dan pengiktirafan terhadap pendidikan sekolah vernakular, penghapusan tol, geran tanah, dan sebagainya cukup menarik.

Begitu pun mampukah ia diterjemahkan kepada undi merupakan suatu lagi persoalan lain.

Pokok pangkalnya lebih banyak usaha harus ditumpukan kepada memperbanyak aktiviti ekonomi untuk merangsang aktiviti ekonomi demi kesejahteraan rakyat Sarawak. Wakil rakyat yang bakal dipilih akan datang harus sama-sama terlibat memikirkan cara atau pendekatan untuk memperbesarkan ‘kek’ sedia ada agar semua boleh dapat bahagian yang lebih besar.

Jangan asyik-asyik menunding jari menyalahkan pihak lain atau mensabotaj semata-mata kerana berbeza ideologi politik. Hentikan drama dan mula berkhidmat untuk rakyat terutamanya dalam keadaan semasa sekarang.   – SarawakVoice.com