Banjir: Adenan hadiri taklimat jam 11 pagi

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem akan menghadiri sesi taklimat status banjir dan tanah runtuh di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Bapa Malaysia jam 11.00 pagi ini.

Mesyuarat itu adalah ekoran bencana banjir dan beberapa siri tanah runtuh yang melanda negeri ini sejak dua hari lalu, yang terburuk dalam sejarah sejak tahun 2001.

Pada Isnin lalu, Adenan sempat berkunjung ke Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Dewan Serbaguna Malihah, dan berpuas hati dengan modus operandi perpindahan mangsa yang dilaksanakan.

Terdahulu pada pagi ini berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datu Misnu Taha.

Sementara itu, sehingga jam 7.30 pagi tadi, jumlah mangsa yang dipindahkan akibat banjir di Kuching, Bau dan Serian terus meningkat kepada 5,578 orang, melibatkan 1,510 keluarga.

Sebuah pusat pemindahan baharu dibuka di Serian menjadi keseluruhan 28 pusat dibuka setakat ini. – SarawakVoice.com