Remaja direman gara-gara gari palsu

KUCHING: Gara-gara memiliki gari palsu, seorang lelaki ditahan polis semalam dalam satu pemeriksaan di sebuah bilik rumah tumpangan di Jalan Ban Hock, dekat sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Roslan Bek Ahmad, beliau ditahan ketika sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Narkotik melakukan pemeriksaan rutin sekitar jam 2.50 petang semalam.

” Lelaki Melayu berusia 19 tahun itu kemudian diserahkan kepada pihak Jabatan Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut.

” Kita ingin tahu dari mana dia memperoleh gari buatan Thailand itu dan apa tujuan dia memilikinya,” katanya.

Jelas Roslan, perintah tahanan reman akan dipohon bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki, membuat dan membekalkan secara haram kelengkapan yang dibekalkan kepada pegawai polis.

Tegas Roslan, orang awam diingatkan supaya tidak memiliki sebarang peralatan yang dibekalkan khas kepada pasukan keselamatan tanpa kebenaran. – SarawakVoice.com