Sesuatu kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bukan milik mutlak pemimpin atau keluarga pemimpin politik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak mungkin boleh kekal selamanya mewakili sesuatu kawasan. Suatu waktu, seperti jawatan lain, ia perlu juga berundur.
Hendak menjadi pemimpin tidak perlu sampai 20 tahun atau 30 tahun, apatah lagi 40 tahun. Pemimpin yang efektif hanya perlu tidak lebih daripada 10 tahun untuk mengubah masyarakat, negeri atau negara.
Alfred Jabu anak Numpang telah menjadi Timbalan Ketua Menteri selama lebih 40 tahun. Gramong Juna juga menjadi ADUN dan menteri lebih daripada 35 tahun.
Difikir secara rasional dan objektif, memang sesuai jika mereka berundur, dan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda. Jangan beritahu mereka perlu diberi 10 tahun lagi untuk mengubah keadaan.
Kalau tidak, mana mungkin ada negara seperti Filipina, Presidennya hanya diberi tidak sampai 10 tahun. Atau di Amerika Syarikat, hanya dua penggal, iaitu 10 tahun.
Hanya pemimpin yang tidak efektif atau gila kuasa sahaja yang perlukan masa yang terlalu panjang. Bagi pemimpin jenis ini, kepemimpinannya bagai tidak boleh ditukar ganti.
Walhal, kepemimpinan yang berkesan, hanya perlu masa sekitar 10 tahun untuk melihat kesannya. Ketua Menteri Tan Sri Adenan beritahu semua orang, bukan sekali, tetapi banyak kali, bahawa dia hanya perlukan mandat lima tahun sahaja lagi untuk memenuhi agenda beliau.
Berita pemimpin yang sudah berada di tampuk kuasa terlalu lama, dan berhasrat untuk berundur sentiasa menjadi angin segar. Berita itu sentiasa ditunggu-tunggu oleh rakyat yang ingin melihat angin perubahan berlaku di kawasan terbabit.
Seseorang pemimpin harus sedar bila waktu yang sesuai baginya untuk berundur. Jangan beritahu rakyat, dia perlukan lima tahun lagi untuk merealisasikan agendanya.
Persoalannya, apakah yang dilakukan pemimpin itu selama ini sehingga dia perlu meminta lanjutan tempoh untuk melaksanakan impiannya?
Adakah itu sekadar alasan untuk menjustifikasikan lanjutan tempoh?
Masalahnya, pemimpin sedemikian berasa dirinya serba hebat hingga dia sukar diganti. Dunia bagai kiamat kalau dia tidak ada. Walhal, ramai yang akan bersorak gembira jika dia mengisytiharkan diri untuk berundur. Pemimpin jenis ini perlu melihat ke dalam cermin.
Tetapi, masalah lain pula timbul apabila pemimpin berkenaan mencadangkan nama anaknya pula untuk menggantikan tempatnya. Tidak ada orang lainkah hendak menjadi pengganti? Tidak ada calon lain yang lebih layakkah untuk mengambil alih kekosongan yang ditinggalkan?
Sesuatu kerusi bukan milik mutlak keluarga pemimpin berkenaan. Sesuatu kawasan harus diserahkan kepada mereka yang benar-benar layak dan sesuai dari semua segi.
Kalau penggantinya dipilih hanya kerana hubungan darah dengan pemimpin terdahulu, maka rakyat akan mempertikaikannya, lebih-lebih lagi kalau anak yang menjadi pengganti dipertikaikan dan diragui kepemimpinannya.
Ini bukan zaman pengundi boleh dipaksa untuk menerima membabi buta. Pengundi sekarang sudah celik politik dan tahu siapa yang sesuai dan siapa yang tidak. – SarawakVoice.com