AjiAOZtN8HQOcOoSavYoT8CGQEwVWXtIQmtOb1Dy-GAB

KUCHING: Hampir semua kawasan terjejas banjir di negara ini berjaya menubuhkan pusat pemindahan mangsa banjir dalam tempoh kurang daripada “tempoh respons dua jam” yang dicadangkan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim berkata, pihaknya berpuas hati dengan kejayaan ini, malah semua pihak katanya, berjaya memenuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan.

” Response time (tempoh maklum balas) adalah dua jam. Jadi dari waktu kami dimaklumkan mengenai sesuatu bencana banjir ini, dalam tempoh dua jam pusat pemindahan kita mesti dibuka.

” Maksudnya, akan ada pegawai di pusat penindahan dalam tempoh tersebut,” katanya pada sidang media selepas menemani Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem melawat mangsa-mangsa banjir di Dewan Serbaguna Malihah, dekat sini.

Pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) katanya, sememangnya sentiasa siap siaga untuk menubuhkan pusat-pusat pemindahan bila-bila sahaja diperlukan.

Namun dalam tempoh sebelum dua jam tersebut, pemimpin komuniti setempat juga dilibatkan dengan berperanan membuka dahulu pusat pemindahan sebelum pegawai-pegawai JKM tiba.

Antara keperluan yang disediakan ketika pusat pemindahan dibuka termasuklah tikar, tabir pemisah, tilam, makan minum, selain keperluan bayi.

Pada masa yang sama, katanya, pihak JKM turut menyediakan sesi kaunseling dan aktiviti untuk mangsa-mangsa yang trauma, terutamanya kanak-kanak.

Terdahulu, Tan Sri Adenan yang sebelum itu memendekkan lawatan Tahun Baharu Cinanya bagi melawat mangsa-mangsa banjir berkata, dia gembira semua proses pemindahan berlangsung dengan lancar.

” Ini operasi besar, dan macam-macam boleh berlaku seperti kelewatan dan sebagainya. Tetapi secara keseluruhannya, saya benar-benar gembira,” katanya.

Lebih 722 penduduk daripada 163 dari Kuching dan Bau terjejas dengan banjir tersebut dan setakat jam 6 petang tadi, sebanyak enam pusat pemindahan telah dibuka. – SarawakVoice.com

AnN0KWTKg53UxQ9eUn1q762FFw0Lf6ZLlftviAE5im7M