Penyingkiran Mukhriz: Impian Politik Mahathir Berkecai

Apabila Mukhriz Mahathir pulang ke rumah keluarga beliau di Titi Gajah selepas membuat pengumuman berhenti menjadi Menteri Besar Kedah, beliau disambut dengan pelukan oleh bondanya, Tun Siti Hasmah Mohd Ali. Ramai yang tertanya-tanya di manakah Tun Dr Mahathir? Kenapa beliau tidak ada dalam gambar yang merakamkan detik bersejarah itu?

Adakah Tun Mahathir terlalu sedih untuk berhadapan dengan episod penyingkiran anaknya sebagai Menteri Besar di negeri yang pernah mengangkat karier politik beliau? Walaupun pernah menjadi ‘orang kuat’ dalam pentas politik Malaysia selama 22 tahun, Tun Mahathir gagal menghalang penyingkiran anaknya daripada jawatan Menteri Besar Kedah pada 3 Februari 2016.

Penganalisis politik memberi gelaran ‘orang kuat’ (strongman) kepada Mahathir kerana di samping dapat mengekalkan kuasa selama 22 tahun dalam persada politik Malaysia, Mahathir menggemparkan dunia dengan menangkap seramai 106 orang pemimpin pembangkang, aktivis masyarakat, pemimpin NGO dan wartawan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menerusi ‘Operasi Lalang’ pada tahun 1987.

Mahathir tidak pernah kisah terhadap tuduhan sebagai ‘diktator’ atau ‘autoritarian’ yang dilemparkan oleh media antarabangsa terhadap beliau pada masa itu.

Institusi kehakiman tidak terlepas daripada menerima tempias ‘kekuatan’ Mahathir. Mahathir memeranjatkan komuniti perundangan dengan memecat tiga hakim Mahkamah Tinggi dan Ketua Hakim (Lord President), iaitu Tun Salleh Abbas pada tahun 1988. Sebuah tribunal yang dipengerusikan oleh Tun Hamid Omar ditubuhkan bagi menyingkirkan Tun Salleh Abbas.

Pada zaman Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, kerajaan menyatakan kekesalan dengan ‘meminta maaf’ dan membayar pampasan kepada semua yang telah dipecat dalam peristiwa tersebut.

Tidak lama selepas itu, Mahathir melaksanakan dasar penswastaan secara besar-besaran. Apa-apa sahaja pegangan kerajaan yang mendatangkan keuntungan, daripada air, api, telefon, pos, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dan banyak lagi telah diswastakan.

Projek-projek mega yang tidak pernah disaksikan oleh rakyat Malaysia telah dilaksanakan semasa pentadbiran beliau, antaranya ialah seperti Putrajaya, Cyberjaya, bangunan berkembar Petronas, lebih raya utara-selatan dan seumpamanya.

Dengan kuasa dan pengaruhnya, Mahathir turut berjaya mengekang kebangkitan Islam konservatif seperti yang dibawa oleh PAS yang bercita-cita melaksanakan hukum hudud. Anwar Ibrahim dibawa masuk ke dalam UMNO bagi tujuan mengurangkan pengaruh PAS. Institusi perbankan Islam, Universiti Islam dan elemen-elemen Islam moderat  yang lain diperkenalkan oleh beliau bagi tujuan itu.

Apabila berhadapan dengan krisis ekonomi pada tahun 1988, Mahathir mengambil langkah bertentangan dengan cadangan yang diberikan International Monetery Fund (IMF). IMF mencadangkan supaya Malaysia menerima pinjaman daripada itu, mengambil langkah menstrukturkan semula ekonomi dengan melaksanakan dasar bersifat meritokrasi dan sebagainya. Kepada Mahathir, cadangan IMF boleh meruntuhkan model politik yang selama ini dibina berlandaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mengutamakan bumiputera. Sebagai ganti, Mahathir  mengadakan ‘kawalan modal’ dan mengikat ringgit kepada dolar Amerika pada kadar RM3.40 bagi US1.00.

Kepada penganalisis politik, Mahathir berjaya melaksanakan semua polisi tersebut tanpa banyak halangan kerana beliau ialah ‘orang kuat’  dalam sistem politik Malaysia yang tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang kritikan (lihat nasib yang dialami oleh Anwar Ibrahim). Gelaran ‘orang kuat’ juga akan menjadi legasi kepada Mahathir kerana beliau adalah satu-satu tokoh yang dikatakan berjaya ‘menurunkan’ tiga orang Perdana Menteri Malaysia sepanjang karier politiknya.

Tiga orang Perdana Menteri yang ‘diturunkan’ itu ialah Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn dan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi. Datuk Seri Najib Razak termasuk dalam senarai yang ingin ‘diturunkan’ oleh Mahathir semenjak Jun 2015. Bagaimanapun, sehingga kini usaha tersebut nampaknya tidak berjaya.

Seperti mana ‘orang kuat’ lain di rantau Asia Tenggara, misalnya kejayaan Lee Hsieng Loong menggantikan Lee Kuan Yew di Singapura, Megawati Sukarno Putri (anak Sukarno) di Indonesia dan Gloria Macapagal-Arroyo menggantikan Diosdado P Macapagal di Filipina, ada kemungkinan Mahathir sebenar mahu Mukhriz menjadi perdana menteri Malaysia suatu hari kelak.

Dalam negara sendiri musuh-musuh Mahathir seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh, Nik Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim, semuanya mempunyai dinasti politik. Siapakah Lim Guang Eng, Gobind Singh, Nik Abduh dan Nurul Izzah tanpa nama besar seperti di atas.

Semasa pemilihan pucuk pimpinan UMNO tahun 2014, Muhkriz gagal memenangi kerusi Naib Presiden UMNO. Apabila ditanya oleh wartawan kenapa Mukhriz gagal, Mahathir menjawab ‘dia (Mukhriz) tidak ada dalam senarai’. Maksudnya, Najib Razak dan pasukannya tidak membantu Mukhriz untuk menang.

Mungkin itulah sebabnya Mahathir mengambil tindakan menarik balik sokongan terhadap Najib tidak berapa lama kemudiannya. Isu 1MDB dan dana RM2.6 bilion hanyalah alat untuk menurunkan Najib. Masalahnya, makin banyak Mahathir bercakap mengenai skandal kewangan, semakin tajam ingatan masyarakat terhadap skandal kewangan pada zaman beliau. Antaranya kerugian ‘di atas kertas’ Bank Negara sebanyak RM30 bilion, isu ‘bailout’ MISC, pembelian semula saham MAS oleh kerajaan dan banyak lagi.

Mahathir barangkali tidak menduga yang anaknya akan disingkirkan dan cita-citanya untuk membangunkan dinastinya semakin kabur. Impian itu hancur dan musnah  di Kedah, negeri kelahirannya. Negeri yang penduduknya merasa seperti anak tiri jika dibandingkan dengan perhatian yang diberikan terhadap Langkawi dari segi pembangunan. – SarawakVoice.com