AgqBZTHqwFq1vNlj1_7eMBEWJQKmoZzHaKbucV058sNd

SARIKEI: Ombak kuat dan arus deras dipercayai menghanyutkan dua lelaki ketika mereka sedang mandi-manda di Pantai Belawai, Tanjung Manis kira-kira jam 5.45 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Farhan Sufyan Borhan berkata, sehingga jam 7 malam tadi, kedua-dua mangsa yang berusia 17 hingga 26 tahun masih belum ditemui, manakala seorang rakan mereka yang berusia 26 tahun, yang sebelumnya mandi bersama-sama terselamat.

Kata Farhan, identiti mangsa masih belum dikenal pasti manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan.

“Kita menerima panggilan kecemasan sekitar jam 5.45 petang dan sebuah jentera dengan kekuatan empat anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak 105 km dari balai,” katanya.

Katanya, berikutan ombak kuat dan berbahaya, operasi SAR bertumpu ke sekitar kawasan pantai, termasuk di lokasi kedua-dua mangsa dilaporkan kelihatan sebelum hilang. – SarawakVoice.com

Al4Z1XiC97XiGwDjlwuAjTf8EZow8zsA2wc2dlJOeUwj