Kuching: Hujan berterusan sejak 36 jam lalu telah menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini dinaiki air.

Menurut Penolong Pegawai Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak, Farhan Sufyan Burhan, air di sesetengah kawasan naik hingga ke paras pinggang atau pada kedalaman satu meter.

” Ini menyebabkan kami terpaksa mengaktifkan proses menyelamat dan menjalankan aktiviti pemindahan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Katanya, pihaknya mula menerima laporan air naik dan memasuki kediaman penduduk sekitar jam 5.42 petang tadi.

banjir di malihah_01

” Sehubungan itu, kita telah mengarahkan sepasukan anggota untuk berkejar ke lokasi dan menggerakkan aktiviti pemindahan,” katanya.

Berdasarkan maklumat awal, dua batang sungai yang mengalami limpahan air ini ialah Sungai Tengah di Matang dan Sungai Singai di Bau.

banjir di malihah_02

” Paras air di Sungai Sarawak berhampiran Taman Malihah menyaksikan air naik ke paras 8.02 meter manakala tahap bahaya 7.4 meter.

” Sehingga jam 10.30 malam ini, trend air adalah mendatar dan belum menunjukkan tanda-tanda surut,” katanya.

Sementara itu, sehingga sekitar jam 10.30 malam ini, sebanyak 1126 mangsa daripada 239 keluarga telah dipindahkan dari kawasan kediaman Taman Malihah ke Pusat Pemindahan Dewan Serbaguna Malihah.

Manakala 24 orang daripada 8 keluarga dipindahkan dari Kampung Sungai Lumut berhampiran Santubong ke Dewan Sinaran Lumut di kampung yang sama.

Proses pemindahan difahamkan masih berlangsung. – SarawakVoice.com

banjir di malihah_03