Lebuh Raya Pan Borneo_00

BETONG: Struktur tanah lembut dan paya gambut di sebahagian besar laluan Lebuh Raya Pan Borneo menjadi cabaran utama dalam memastikan projek mega ini siap mengikut jadual yang ditetapkan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, cabaran ini menuntut kontraktor terlibat memberikan perhatian khusus kepada kerja-kerja tebus guna tanah berkenaan agar selamat untuk tujuan pembinaan lebuh raya itu.

Kebanyakan kawasan paya gambut ini terdapat di lokasi pakej kedua jajaran iaitu di Sri Aman, Sibu dan Bintulu.

“Pelaksanaan kerja-kerja tebus guna di kawasan ini amat penting bagi memastikan lokasi itu sesuai sebagai laluan lebuh raya berkenaan.

” Ini akan menjadikan ia lebih kukuh dan selamat walaupun mengambil masa yang lama,” katanya ketika sidang media di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Layar, dalam Siri Jelajah Pan Borneo hari ini.

Kata Fadillah, pihaknya yakin kontraktor- kontraktor yang dilantik mampu menyelesaikan masalah struktur tanah ini, malah komited untuk memastikan tidak berlakunya sebarang kelewatan terhadap keseluruhan pakej projek berkenaan.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata, landskap negeri ini yang beralun, dan struktur tanah lembut menyebabkan kerja-kerja pembinaan juga sukar dijalankan tanpa bantuan teknologi terbaharu.

” Untuk mengatasi masalah ini, kita perlu meneliti aspek kejuruteraan dan teknikal bagi memastikan reka bentuk yang dihasilkan bersesuaian dengan struktur tanah kawasan terbabit.

” Ini penting bagi memastikan lebuh raya ini mampu diselenggara dengan baik untuk empoh jangka masa panjang,” katanya.

Fadillah turut menyentuh isu Tanah Adat Bumiputera (NCR) yang menyumbang kepada sebahagian besar masalah projek ini.

Isu ini katanya, amat sensitif dan perlu diselesaikan dengan kaedah berhemah, termasuk melalui sesi dialog bersama-sama pihak terbabit, agar ia dapat diselesaikan dengan baik.

” Kita berharap sesi dialog dapat membantu mengatasi masalah ini, terutama berkaitan tuntutan agar dapat dilaksanakan secara rasional.

” Ini kerana kita mahu mereka lebih memahami bahawa pembinaan lebuh raya ini akan memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” katanya. – SarawakVoice.com