KUCHING: Menteri Pembangunan Masyarakat, Wanita dan Keluarga, Datuk Fatimah Abdullah hari ini meminta orang ramai tidak memandang “serong” wanita yang bekerja dalam industri urutan dan spa.

Menurutnya, seharusnya orang ramai melihat kerjaya itu dari sudut yang positif, bukannya menjangkakan yang “bukan-bukan”.

” Malah mereka yang terlibat dalam industri ini adalah kalangan yang berilmu dan memiliki kemahiran yang tinggi, baik dari aspek teori mahupun praktikal mengenai rawatan tubuh badan,” katanya ketika merasmikan Pasar Kraftangan dan Kursus SPA Pusat Latihan Wisma Wanita (PLWW) di Semariang hari ini.

kerjaa wanita tukang urut_0000

Hadir sama Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Noriah Ahmad dan Pengarah Urusan Mostell Sdn. Bhd. Fully Chye Goet Lee.

Sehubungan itu, kata Fatimah, kementeriannya akan terus memberi sokongan penuh kepada mereka yang melibatkan diri dalam industri ini.

” Kami malah menggalakkan golongan wanita di negeri ini melibatkan diri dalam pelbagai bidang ekonomi termasuk dalam sektor perniagaan kecil dan sederhana.

Kerana itulah katanya, kementeriannya menggalakkan golongan ibu tunggal, suri rumah dan mereka yang berpendapatan rendah mendapatkan latihan menerusi PLWW.

” Kita berharap mereka akan dapat membantu meningkatkan pendapatan keluarga, dengan memanfaatkan pelbagai kemahiran yang disediakan PLWW,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada tahun lepas, sebanyak 2,586 peserta telah terlibat dalam pelbagai kursus yang dianjurkan oleh PLWW di seluruh negeri Sarawak. – SarawakVoice.com