PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Azmin Ali hari ini melahirkan keyakinan bahawa semua kerusi yang bakal ditandingi pembangkang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada April ini berlangsung secara satu lawan satu.

Ditemui media di sini malam tadi, Azmin berkata, beliau yakin konsensus akan dicapai dalam kalangan pembangkang meskipun Parti Islam Se-Malaysia (PAS) membayangkan mereka akan menentang mana-mana calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Negara (PAN) yang bertanding dalam 11 kerusi yang bakal mereka tandingi.

” Saya percaya, semua pihak akan menerima kaedah satu lawan satu bagi memastikan kemenangan dan undi tidak pecah

” Dan PKR akan mengemudi perbincangan dengan semua pihak,” katanya.

Pada minggu lalu, Pakatan Harapan yang menggabungkan PKR, DAP dan PAN mengumumkan mereka akan bertanding di semua 82 kerusi.

DAP menerusi Pengerusinya, Chong Chieng Jen optimis pihaknya boleh menang sekurang-kurangnya 20 daripada 35 kerusi yang ditandingi.

PKR pula telah mengumumkan senarai 30 calonnya manakala 10 lagi masih dalam perundingan.

PAS pula menerusi Pengarah Pilihan Raya Pusatnya, Datuk Mustafa Ali di Kuching pada minggu lalu membayangkan pihaknya akan menang satu atau dua kerusi daripada 11 yang bakal ditandingi.

Azmin berkata, pihaknya optimis, BN akan menghadapi cabaran hebat pembangkang biarpun mereka (BN) berselindung di sebalik imej hebat Adenan.

” Kita yakin banyak isu tempatan yang gagal dilunaskan dan pihak pembangkang sangat prihatin dan kehendak mereka ini,” jelasnya. — SarawakVoice.com