KUCHING: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini dijangka akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memuktamadkan senarai calon parti tersebut menghadapi pilihan raya April ini.

Menurut sumber dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), pertemuan itu dijangkakan akan diadakan pada sebelah petang dan akan dihadiri beberapa pemimpin utama parti.

” Pertemuan ini dijangkakan akan menyelesaikan beberapa masalah yang berkaitan beberapa calon berkenaan parti komponen, yang tertangguh dalam pertemuan Selasa lalu,” katanya lagi.

Menurutnya, ini termasuk kemelut yang membabitkan parti-parti serpihan Parti Bersatu Rakyat (UPP) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) serta Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

” Jalan penyelesaian terbaik yang mungkin menjadi jawapan kepada kemelut ini ialah menampilkan para penyandang serta calon baharu ini sebagai calon langsung BN atau BN ‘direct candidate’,” katanya.

Formula yang sama dibayangkan oleh Adenan sewaktu beliau ditemui oleh beberapa wartawan akhbar nasional di pejabatnya semalam.

Idea ini sebenarnya bukan perkara baharu kerana ia pernah diguna pakai sewaktu BN Sarawak di bawah pimpinan Tun Abdul Taib Mahmud sebelum ini baik sewaktu Pilihan Raya Umum mahupun Pilihan Raya Negeri.

Antara yang pernah bertanding sebagai calon langsung BN termasuklah Billy Abit Joo di Parlimen Hulu Rajang dan Mong ak Dagang di DUN Bukit Begunan. Kedua-dua calon tersebut telah menyumbang kepada kemenangan besar BN.

Yang jelas, jika formula ini menjadi kenyataan, sejarah akan tercipta dengan BN mrnampilkan calon langsung teramai dalam sejarah.

Antara yang dikaitkan sebagai calon langsung BN ini termasuklah Datuk Ranum Mina (Opar), Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Datuk Peter Nansian (Tasik Biru) dan Dr Johnicol Rayong (Engkilili).

Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan), Datuk Sylvester Entri Muran ( Marudi), Paulus Palu Ngumbang (Batu Danau) dan Rosey Yunus (Bekenu).

Kata sumber itu lagi, dua kerusi baharu hasil persempadanan semula DUN Sarawak berkemungkinan besar turut menampilkan calon langsung BN, tetapi dibahagikan atas kuota TERAS dan UPP.

Presiden TERAS yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pakan, Tan Sri William Mawan dijangka tidak akan mempertahankan kerusinya dan akan berkhidmat sebagai Menteri Pusat, berikutan telah memenangi kerusi Parlimen Saratok pada pilihan raya umum lalu.

Ini bagi mengimbangi kedudukan Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang akan berkhidmat di Kabinet Negeri jika berjaya memenangi DUN Layar.

Uggah dijangka akan menggantikan penyandang, Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang akan bersara setelah sembilan penggal menjadi ADUN kawasan tersebut. – SarawakVoice.com