Penyingkiran Mukhriz:  Bermulanya Percaturan Pemilihan Pucuk Pimpinan UMNO 2018

“Berilah apa alasan sekalipun, tak masuk di otak saya (sukar diterima akal), bagaimana orang yang hanya berkelulusan setakat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dipilih menjadi menteri besar dan memimpin sebuah negeri. Mana mungkin pemimpin seperti ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak kita yang sedang berada di bangku sekolah? Secara peribadi, saya tidak nafikan Ahmad Bashah baik orangnya, tetapi dari segi politiknya beliau dibenci oleh rakyat”.

Demikianlah respon spontan yang diberikan oleh seorang sahabat mengenai perlantikan Ahmad Bashah Md Hanifa sebagai Menteri Besar Kedah yang baharu menggantikan Mukhriz Mahathir pada hari Rabu 3 Februari 2016.

Pendapat yang diberikan oleh sahabat saya seperti di atas agak sukar untuk dinafikan. Apatah lagi perlantikan Ahmad Bashah disambut oleh netizens dengan ‘memviralkan’ gambar seolah-olah beliau sedang tidur dalam majlis angkat sumpah beliau sendiri sebagai Menteri Besar.

Yang menariknya tidak ada seorangpun Ketua Bahagian UMNO di Negeri Kedah bangkit membela Ahmad Bashah seperti mana mereka bergabung meminta Mukhriz meletak jawatan pada 20 Januari 2016.  Hanya anak bongsu beliau yag bernama Azira Hafiza memberanikan diri menulis di FB membela ayahnya yang sedang keji dan dijadikan bahan lawak serata alam.

Mengapa pucuk pimpinan UMNO berani mengambil risiko yang bertentangan dengan kehendak majoriti rakyat seperti yang dipaparkan menerusi episod penyingkiran Muhkriz Mahathir? Adakah pucuk pimpinan UMNO lupa bahawa sebagai sebuah parti politik, mereka mesti mendapat sokongan rakyat terbanyak untuk terus kekal relevan?

Banyak orang lupa bahawa Datuk Seri Najib Razak merupakan ‘anak didik’ Tun Mahathir dan lulusan ‘sekolah politik Barisan Nasional’, satu-satu sekolah politik yang terunggul di Malaysia. Selama 22 tahun Tun Mahathir mengajar dan mengasuh anak didiknya bahawa pengundi yang bersifat multi-etnik seperti di Malaysia menghormati ‘pemimpin yang kuat’.

Pada pertengahan tahun 2015, Najib Razak menerima pelbagai serangan politik termasuk oleh Tun Mahathir dan media antarabangsa mengenai isu 1MDB dan dana RM2.6 billion. Lebih meranjatkan lagi apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin Yassin (Timbalan Presiden UMNO) dan Datuk Sri Shafie Apdal (Naib Presiden UMNO) turut sama mengkritik beliau dalam isu tersebut.

Najib tidak menunggu lama untuk menunjukkan bahawa beliau adalah seorang ‘pemimpin yang kuat’ – Muhyiddin dan Shafie dipecat daripada kabinet. Banyak pihak menganggap penyingkiran Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah adalah kerana beliau secara terbuka mengkritik kepimpinan Najib.

Muhkriz gagal membezakan kesetiaan terhadap seorang ayah dan kesetiaan terhadap presiden parti.

Mukhriz gagal memahami ilmu yang dipraktikkan oleh ayandanya sendiri selama 22 tahun dalam mentadbir UMNO.

Ilmu kedua yang diajar oleh Mahathir di ‘sekolah politik Barisan Nasional’ ialah ‘eratkan persahabatan dengan kawan kamu dan dalam masa yang sama jalinkan hubungan lebih erat juga dengan musuh politik kamu’. Mahathir terima Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pada masa yang sama mengekalkan Tengku Razaleigh dalam kabinet beliau (Musa dan Razaleigh bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO 1984 dan Musa menang). Begitu juga dengan Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi, Mahathir kekalkannya sebagai menteri kabinet untuk mengekang kuasa Anwar Ibrahim (Pak Lah dan Anwar kedua-duanya daripada Pulau Pinang).

Selepas Muhyiddin Yassin tidak lagi berada dalam kabinet, peluang beliau untuk mengekalkan jawatan itu dijangka amat tipis. Datuk Sri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dikatakan akan pasti menang mudah jawatan Timbalan Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.

Dengan pelbagai skandal yang ditimbulkan oleh media tempatan dan antarabangsa dewasa ini, Najib Razak tidak boleh membiarkan Zahid Hamidi terlalu kuat. Sebahagian besar Ketua-ketua Bahagian UMNO yang ada sekarang  merupakan mantan Ketua-ketua Pemuda UMNO semasa Zahid menjadi Ketua Pemuda UMNO Pusat.

Hanya Datuk Sri Hishamuddin Hussein yang dapat mengimbangi kekuatan Zahid. Dalam pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang lalu, Hishamuddin nyaris tewas. Kedah merupakan antara negeri yang gagal ditembusi oleh Hishamuddin.

Jika Mukhriz tidak dibuang, ada kemungkinan peluang Hishamuddin untuk mengekalkan kerusi Naib Presiden pada kali ini amat tipis. Khairi Jamaluddin sudah pasti mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Shafei Apdal dan satu kerusi lagi mungkin diisi oleh Datuk Ismail Sabri.

Kuasa Zahid amat kuat sekiranya Mukhriz menang sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO dan Hishamuddin terkeluar. Zahid sedar tentang apa yang berlaku di Kedah dan mungkin itulah sebabnya beliau hanya mendiamkan diri sepanjang hampir dua minggu krisis ini berlaku. Sesuatu yang jarang berlaku dalam UMNO. Lazimnya bila berlaku krisis peringkat negeri, Timbalan Perdana Menteri yang selalu dilihat sibuk menyusun plan damai. Tetapi kali ini tidak.

Dengan tersingkirnya Muhkriz, peluang Hishamuddin untuk mengekalkan jawatan Naib Presiden terbuka kembali. Mungkin seorang tokoh daripada Kedah akan diberi tempat untuk memasuki gelanggang Naib Presiden bagi terus menguatkan Hishamuddin dan seterusnya melemahkan pengaruh Zahid di Kedah.

Ilmu ketiga yang diperturunkan oleh Tun Mahathir di ‘sekolah politik Barisan Nasional’ ialah ‘pemilihan pucuk pimpinan parti semasa mesyuarat agung yang diadakan setiap tiga tahun sekali adalah lebih penting daripada Pilihan Raya Umum (PRU). Dalam PRU, BN/UMNO sentiasa menang, jadi ianya bukanlah suatu sukar.

Sebaliknya perlumbaan memenangi jawatan strategik dalam parti seperti timbalan presiden dan tiga naib presiden amat penting kepada mereka yang ingin terus kekal berkuasa sebagai presiden parti. Ketiga-tiga naib presiden parti mestilah terdiri daripada orang kuat presiden.

Itulah sebabnya Tun Mahathir berjaya menangkis serangan Anwar Ibrahim semasa konflik tahun 1998. Yang menjadi Naib pada tahun 1998 ialah Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi (Datuk Sri ketika itu), Muhyiddin Yassin dan Najib Razak kesemuanya ‘orang Mahathir’.

Apa yang dipentaskan dalam krisis politik di negeri Kedah yang terbaharu ini sebenarnya ialah permulaan kepada percaturan untuk pemilihan pucuk pimpinan UMNO yang dijadualkan pada tahun 2018 nanti. Seperti yang dinyatakan, ilmu ajaran Mahathir menerusi ‘sekolah politik Barisan Nasional’ menjadi kerangka rujukan kepada pemimpin yang ada sekarang, khususnya kepada Datuk Seri Najib Razak.

Malangnya Muhkriz pernah berpeluang untuk memasuki dan belajar di ‘sekolah politik’ yang diasaskan oleh ayahandanya. Adakah peluang politiknya akan kembali menyinar? Hanya masa yang akan menjawab persolan itu. – SarawakVoice.com