Pakej pertama Lebuh Raya Pan Borneo bermula

FADILLAH melihat peta Jajaran Telok Melano- Sematan

Lundu: Pembinaan pakej pertama projek Lebuh Raya Pan Borneo, Jajaran Telok Melano-Sematan, sepanjang 33 kilometer yang sudah bermula mengutamakan kelestarian alam sekitar.

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata, kira-kira 18 kilometer jalan baru yang dibina itu melalui kawasan Pusat Hidupan Liar Samusan.

“Demi kepentingan hidupan flora dan fauna di pusat hidupan liar itu, Jabatan Perhutanan menasihatkan supaya hanya laluan dua lorong dibina di kawasan terbabit.

“Selain itu, jalan dibina di luar kawasan hutan bagi memastikan alam sekitar tidak terjejas dan hanya memberi sedikit kesan,” katanya ketika taklimat Jelajah Pan Borneo di Sematan di sini, semalam.

Pembinaan dan pembukaan jalan baru dua lorong itu mula dibina 7 Oktober lalu dan dijangka siap pada 6 Januari 2019 dengan kos sebanyak RM580 juta.

Setakat ini perkembangan projek sebanyak 9.27 peratus dan lima kilometer jalan sementara sudah dibina dan pembersihan kawasan dilakukan. – SarawakVoice.com