KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem hari ini memberi jaminan bahawa Sarawak akan terus mengiktiraf sijil UEC yang diduduki oleh pelajar-pelajar aliran Cina di negeri ini.

UEC merupakan akronim kepada Unified Examinations Certificate (UEC) — sejenis peperiksaan yang dikendalikan oleh Dong Jiao Zong, atau Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia dalam mengakreditasi pelajar-pelajar mereka di negara ini.

Swak terus iktiraf UEC01

Ia mula dilaksanakan sejak 1975 dan diiktiraf oleh pusat pengajian tinggi di England, Amerika Syarikat, Australia, China dan Taiwan.

Bagaimanapun kecuali universiti swasta, universiti-universiti awam di Malaysia tidak mengiktiraf dan menerima pakai sijil ini.

Sehubungan itu, Adenan berjanji akan berjumpa dengan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Mahadzir Khalid dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara ini.

Menurutnya, Sarawak berpendirian sebegitu kerana sayang akan potensi pelajar-pelajar cemerlang, yang akan menjadi korban sistem dan birokrasi pendidikan negara.

” Saya tidak peduli mereka (kerajaan pusat) mengiktiraf atau tidak, Sarawak tetap mengiktirafnya dan sijil ini laku di negeri ini.

” Jika para lulusan (UEC) ingin menyertai perkhidmatan awam negeri, atau mendapatkan pinjaman atau biasiswa dari Yayasan Sarawak, mereka tidak akan berhadapan dengan masalah,” tegasnya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan SJK Chung Hua No 1 Kuching di sini pagi tadi.

Bangunan blok baharu sekolah ini mula dibina pada tahun 2012 dan siap 24 bulan kemudian, dengan kos RM5.3 juta.

Daripada jumlah itu, RM1.19 juta merupakan sumbangan kerajaan pusat, manakala selebihnya merupakan sumbangan dana awam.

Swak terus iktiraf UEC02

Pada majlis yang sama, Tan Sri Adenan turut mengumumkan geran sebanyak setengah juta ringgit kepada sekolah tersebut bagi membiayai aktivitinya.

Menurut Adenan, sokongan beliau kepada sekolah Cina ini adalah disebabkan keyakinannya bahawa sekolah ini sedang berada pada landasan yang tepat, dalam meningkatkan pendidikan masyarakat Cina di negara ini.

Jelasnya, sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak dua tahun lalu, beliau berpegang kepada prinsip bahawa masyarakat Cina di negeri ini merupakan warganegara yang sah, dan bukan bertaraf “pendatang” seperti yang didakwa segelintir pihak ekstremis di Semenajung.

” Oleh itu, saya sentiasa menyokong pembangunan komuniti ini, termasuk memberi dana untuk pembangunan sekolah-sekolah Chung Hua.

” Malah saya berbangga kerana mereka menerima pelajar Melayu dan bangsa lain, seperti sekolah ini yang memiliki 20 peratus pelajar Melayu dan sebuah sekolah di Samarahan, yang memiliki 80 peratus pelajar Bumiputera,” katanya sambil berharap ia diteruskan sampai bila-bila.

Selain merasmikan bangunan blok baharu, Adenan turut merasmikan kaedah pembelajaran elektronik atau e-learning yang kini dipraktiskan di sekolah tersebut.

Turut hadir Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Senator Datuk Dr Sim Kui Hian. – SarawakVoice.com