KUCHING: Sebuah pasukan khas telah ditubuhkan di peringkat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bagi bekerjasama dengan JKR Sarawak untuk melaksanakan projek kejuruteraan mega kedua Sarawak, Jambatan Batang Lupar.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusuf, berkata, penubuhan pasukan itu sejajar dengan arahan Kabinet dalam mesyuaratnya semalam, agar kerja-kerja perancangan awal projek itu dimulakan secepat mungkin.

” Sehubungan itu, saya telah mengarahkan JKR Malaysia untuk membentuk pasukan dan berhubung dengan JKR Sarawak untuk melihat kepada perincian apa yang telah dicadangkan.

batang lupar01

” Ini termasuklah dari aspek reka bentuk dan membuat anggaran awal kos,” katanya yang ditemui selepas Majlis Sumbangan Tahun Baru Cina di Dewan SUPP Sungai Tengah Matang di sini, petang tadi.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Kerja Raya, yang juga dikatakan bakal calon BN untuk DUN N6 Tupong, Fazzruddin Abdul Rahman.

Fadillah berkata, anggaran awal kos jambatan tersebut adalah sekitar RM800 juta tetapi pihaknya perlu turun ke lapangan untuk membuat reka bentuk dan anggaran akhir.

” Setelah itu baharulah kita tahu berapa kos sebenarnya.”

Menurutnya lagi, projek ini akan menjadikan Jambatan Batang Lupar sebagai jambatan rentas sungai terbesar di Malaysia, dengan laluan sejauh lima kilometer.

” Ia akan menghubungkan kawasan pesisir pantai Sarawak, dengan melalui Jambatan Batang Samarahan dan Jambatan Sadong, yang akan siap Oktober depan.

” Malah ada empat lagi jambatan akan dibina selepas itu bagi membolehkan jalan alternatif ini berfungsi sepenuhnya,” katanya.

Antara kawasan pesisir yang akan dilalui jalan satu lorong ini termasuklah Samarahan, Sebuyau, Pusa, Betong, Sibu, Mukah dan Matu.

batang lupar00

” Berbanding Lebuh Raya Pan Borneo, jalan ini akan menyingkatkan perjalanan darat sejauh 100 kilometer dari Kuching ke Sibu ,” katanya.

Jelas Fadillah, jajaran sebenar yang akan digunakan untuk membina jambatan tersebut bagaimanapun masih belum dimuktamadkan.

” Pasukan yang ditubuhkan itu kelak yang akan mencadangkan jajaran yang sesuai, setelah kajian tanah dilakukan seterusnya menentukan metodologi yang akan digunakan untuk membina jambatan rentas sungai ini.

Pembinaan jambatan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Majlis Bersama Rakyat di Bintulu ini akan dibiayai bersama oleh Kerajaan Negeri dan Pusat.

Apabila siap kelak, ia akan memberi manfaat kepada ratusan ribu penduduk, sambil memakmurkan ekonomi di kawasan tersebut.  -SarawakVoice.com