Malaysia masih bebas Zika: Subra

Kuala Lumpur: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini menegaskan bahawa Malaysia masih bebas daripada ancaman penularan virus Zika.

Menurutnya, sehingga dua hari lalu, sebanyak 293 sampel darah daripada pesakit yang menunjukkan gejala denggi telah diuji untuk mengesan virus ini, tetapi setakat ini semua keputusan adalah negatif.

” Oleh itu, pihak kita akan terus melakukan pemantauan rapi menerusi Makmal
Pemantauan Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR),” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media hari ini.

Menurut Subramaniam, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah siap siaga yang tinggi bagi membendung penularan virus Zika ke negara ini.

” Antara langkah-langkah yang dilaksanakan termasuklah menyediakan dan mewujudkan sistem pemantauan serta pengurusan jangkitan virus Zika di seluruh negara.

Katanya, ini termasuk melakukan pemantauan klinikal untuk kes Zika di klinik kesihatan dan hospital serta melakukan pemantauan makmal untuk virus Zika itu sendiri.

” Kita juga melakukan survelan ‘Microcephaly’ bagi memantau kejadian kes-kes yang terlibat selain mengaktifkan
tindakan pencegahan dan kawalan, yang dilaksanakan di Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri.

Jelas Subramaniam lagi, kawalan kesiapsiagaan serta respons pintu masuk antarabangsa negara turut diperketatkan bagi menyaring mereka yang datang dari luar negara.

Jangkitan virus Zika telah merebak dengan pantas ke beberapa buah negara terutama di rantau Amerika.

Sebanyak 26 buah negara telah melaporkan kes Zika iaitu Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Costa Rica, Curacao, Republik Dominican, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Haiti, Honduras, Jamaica, Martinique, Mexico, Nicaragua, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, U.S. Virgin Islands, dan Venezuela.

Pada 1 Februari lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan jangkitan virus Zika sebagai “Public Health Emergency of International Concern” (PHEIC) melalui mesyuarat pertama “Emergency Committee under International Health Regulation” (IHR 2005).

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah-langkah kesiapsiagaan bagi membendung penularan virus Zika ke negara ini. – SarawakVoice.com