Kuching: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Utom hari mengesahkan bahawa tujuh daripada 11 kerusi baharu yang akan dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri akan datang telah diputuskan milik Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Beliau ketika dihubungi Sarawak Voice hari ini berkata, kerusi yang diperuntukkan kepada PBB termasuklah Tellian, Kabong, Gedong, Stajan dan Bukit Goram.

Manakala untuk PRS pula, kawasan yang ditandingi mereka ialah Samalaju dan Murum.

Perkara ini, kata Rundi, telah diputuskan dalam mesyuarat pilihanraya di antara BN Sarawak dan BN Pusat di Putrajaya pada Selasa lalu.

Empat lagi kerusi baharu, jelasnya, masih lagi dalam perbincangan kerana melibatkan parti-parti komponen yang berkrisis.

” Bagaimanapun kita mungkin mengambil keputusan untuk menamakan mereka ini sebagai ‘calon Adenan’,” jelasnya.

Empat kerusi yang masih belum diputuskan tersebut termasuklah Batu Kitang, Mulu, Bukit Semuja dan Serembu.

Ketika ini, calon masing-masing parti telah bergerak ke kawasan tersebut bagi melobi untuk dipilih.

Bagaimanapun kata Rundi, beliau berharap semua pihak akan akur dengan keputusan yang bakal dibuat oleh Pengerusi BN Negeri, dan akan bersatu hati memenangkan calon yang dipilih.

Menurut sumber, Batu Kitang mungkin akan diserahkan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) manakala Parti Rakulyat Bersatu (UPP) pula akan bertanding di Bukit Semuja.

” Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) akan diberi kepercayaan di Serembu manakala Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) bertanding di Mulu,” katanya.

Perebutan kerusi baharu ini dikatakan bukan sahaja melibatkan komponen BN, malah juga parti-parti pembangkang seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) , Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Antara kawasan yang menjadi rebutan mereka termasuklah DUN Murum, DUN Batu Kitang dan DUN Samalaju. – SarawakVoice.com