Kuching: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusuf hari ini melahirkan rasa gembira dan berterima kasih kepada Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Adenan Satem atas pemilihan calon Pemuda sebagai pembawa bendera BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

” Kita bersyukur kerana beliau (Tan Sri Adenan) telah menepati janjinya untuk meletakkan sekurang-kurangnya seorang calon Pemuda dan seorang calon Wanita pada PRN ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sumbangan Tahun Baru Cina di Dewan SUPP Sungai Tengah Matang di sini, petang tadi.

Beliau mengulas pengumuman Ahli Majlis Tertinggi Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Allan Siden Gramong, 29 tahun, sebagai calon BN di Machan dua hari lalu.

Pengumuman Allan yang menggantikan bapanya, Datuk Gramong Juna dilakukan oleh Setiausaha Agung PBB dan BN Sarawak, Datuk Dr Stephen Rundi Ukom pada satu majlis di Kanowit.

Kata Fadillah, ini membuktikan Ketua Menteri cukup prihatin kepada permintaan Pemuda dan seorang yang berpegang kepada janji.

” Ini menyemarakkan semangat juang kami dalam Pemuda dan akan bekerja gigih memastikan kemenangan besar BN pada PRN nanti.

” Saya percaya selepas ini akan ada lagi beberapa pengumuman yang akan dibuat oleh Pengerusi BN, yang pasti memberi kejutan kepada semua pihak.”

Selain Allan, dua lagi calon Pemuda PBB yang digembar-gemburkan sebagai calon ialah Gerald Rentap Jabu di DUN Bukit Saban dan Fazzruddin Abdul Rahman di DUN Tupong.