Dapatkah MB baharu Kedah tidur lena selepas singkirkan Mukhriz?

 

Ketika Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengangkat sumpah di Istana Anak Bukit pagi ini, beliau tentu tersenyum lebar — kerana akhirnya impian politiknya tercapai.

Ahmad Bashah yang dilahirkan pada 10 Oktober 1950, telah terbabit dalam politik sejak berusia 22 tahun, sedar beban tanggungjawab yang terletak di atas bahunya bukan kecil.

Dia perlu menyatukan semula UMNO yang telah berdepan krisis selama dua minggu. Dia juga perlu pastikan dia terus berada di kerusi itu selepas PRU-14. Tetapi, mampukah UMNO bertahan ketika ia menerima gugatan dari dalam?  Beliau perlu mencari formula dan strategi ampuh untuk memenangi hati rakyat — sesuatu yang didakwanya gagal dilakukan oleh  Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Semalam, Ahmad Bashah memuji Mukhriz, atau itu sekadar kenyataan politik?

Benarkah beliau tidak akan meminggirkan Mukhriz selepas ini?

“Apa yang berlaku adalah kehendak kepemimpinan UMNO. Dan saya percaya Mukhriz akan terus bantu UMNO kerana kedudukannya yang diterima ramai,” jelas Ahmad Bashah pada sidang media di Bangunan Tunku, Alor Setar semalam.

Adakah penyokong mantan MB berdiam diri?

Meskipun Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menemui jalan mati semalam, tetapi jangan fikir beliau, dan juga ayahnya akan mengangkat bendera putih. Malah, semalam Tun Dr Mahathir sekali lagi melancarkan serangan terhadap Perdana Menteri dalam blog popularnya.

Mukhriz tidak punya banyak pilihan. Kuasa memilih wakil rakyat terletak di tangan rakyat dan pengundi Kedah, tetapi kuasa meletakkan beliau di kerusi panas itu ialah prerogatif Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

Apabila MB ke-11 itu sedar dia tidak lagi mendapat sokongan Ketua Bahagian UMNO dan majoriti ADUN, itulah ketikanya, dia perlu menerima realiti pahit.

Mukhriz bukan tidak punya kelemahan.

Dia dipersepsi lebih banyak berada di Kuala Lumpur, berbanding di Alor Setar, meskipun orang ramai dapat melihat wajahnya di mana-mana di bandar itu melalui papan iklan. Dengan senyuman manisnya, Mukhriz seolah-olah berada di mana-mana.

Tetapi, beliau tentu juga sedar banyak musuh politiknya sentiasa mengintip dan memantau pergerakan beliau — dengan sebahagian daripada ketua bahagian UMNO mempunyai hubungan langsung dengan presiden parti.

Dengan banyaknya tukang kipas dan oportunis dalam parti, tentu Mukhriz mudah menjadi mangsa, apatah lagi beliau dilihat tidak menyokong Najib dalam isu 1MDB, derma RM2.6 bilion dan GST.

Maka, mudah dimengerti apabila Najib lebih suka jika Mukhriz diganti agar duri dalam daging tidak lagi mengganggu beliau. Tetapi benarkan, dengan Mukhriz tiada lagi di kerusi itu, semuanya bisa tidur lena?

Semalam, ketika drama berkembang di Alor Setar, banyak netizen tersentuh melihat gambar Mukhriz berpelukan dengan ibunya, Tun Siti Hasmah Mohd Ali. Sebenarnya, Hasmah telah memeluk anaknya itu di rumah mereka di Titi Gajah sekembali Mukhriz, menaiki kereta Vellfire, meninggalkan di belakang kereta rasminya Mercedes Benz selepas melepaskan jawatan berkenaan.

Ibu mana yang tidak tersentuh dengan kejadian yang menimpa anaknya? Yang termampu dilakukan oleh Hasmah ialah memberi kata-kata semangat.

Kereta berderetan di sepanjang jalan menuju rumah keluarga Mahathir itu, menandakan sokongan, dengan sebahagiannya didapati menitiskan air mata.

Sepanjang sidang media mengumumkan peletakan jawatannya, Mukhriz kelihatan tenang, tetapi sempat menyindir Ahmad Bashah, apabila mengungkapkan kata-kata, agar beliau tidak lena, berikutan tersebar gambar yang menunjukkan ADUN Bakar Bata itu terlelap dalam satu majlis rasmi.

Tetapi, Ahmad Bashah menafikannya, sebaliknya mendakwa fokus terhadap ucapan. Beliau telah menjelaskan gambar itu kepada Perdana Menteri.

Mukhriz membacakan kenyataan media dalam bahasa Malaysia sepanjang satu setengah halaman, tanpa tersekat dan rasa sebak. Sepanjang sekitar 20 minit, beliau tidak kelihatan marah atau letih.

“Menjamin kesejahteraan rakyat Kedah adalah keutamaan saya. Bagi mengelak daripada kemelut politik ini berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri, saya mengambil pendirian untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa serta-merta,” tegas beliau di akhir kenyataan itu.

Mukhriz mengakui pentingnya UMNO melakukan transformasi drastik jika mahu terus menarik pengundi.

Dalam usaha untuk menarik penyokong PAS dan golongan muda, ketika menjadi MB, Mukhriz kelihatan memakai jubah dan kopiah, ketika turun padang.

Tetapi tempoh Mukhriz berada di kerusi itu adalah terlalu singkat untuk memenuhi segala agendanya. – SarawakVoice.com