3 selamat rumah dijilat api

SIBU: Tiga sekeluarga berdepan detik ngeri apabila kediaman mereka dijilat api ketika cuaca panas melanda Kampung Masjid, Belawai, dekat sini petang tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, lelaki berusia 50 tahun, anaknya berusia 25 tahun dan cucu lelakinya berusia 3 tahun tinggal sehelai sepinggang, setelah berlaku litar pintas di bilik tidur rumah mereka.

Menurut Penolong Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar 3.12 petang

” Sebuah jentera dengam enam anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak lebih 100 kilometer dari balai.

” Setibanya di sana, kami mendapati sebuah rumah telah musnah dijilat api, manakala rumah-rumah yang berjiran berjaya diselamatkan dengan bantuan pemadaman oleh penduduk setempat,” katanya.

Farhan berkata, pihaknya berterima kasih kepada penduduk kampung yang melakukan tindakan terpuji dan pantas, hingga berjaya menghalang api daripada merebak.

” Setelah kerja-kerja pemadaman berjaya, kita telah membuka kaunter sehenti pasca insiden untuk merekodkan maklumat mangsa serta dokumentasi,” katanya. – SarawakVoice.com

rumah terbakar d sibu_02 rumah terbakar d sibu_00