SARIKEI: Sekumpulan tiga lelaki tidak sempat menjual minuman keras dipercayai tanpa cukai kastam apabila dicekup dalam satu pemeriksaan di Jalan Jubli Mutiara, di sini, semalam.
Pemeriksaan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarikei pada jam 11.40 pagi itu, berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 20-an dan merampas beberapa kotak minuman keras.
Komander Operasi PPM Wilayah Lima Sarawak Asisten Komisioner Kalai Chelvan berkata, hasil pemeriksaan dalam sebuah van yang dinaiki tiga lelaki itu menemui beberapa kotak minuman keras berjenama Oranjeboom, Dexter dan Tiger.
“Pemandu van itu gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan minuman keras tersebut dan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Kastam 1952.
“Kesemua kotak minuman keras tersebut telah dirampas dan tiga lelaki terbabit ditahan dan laporan polis dibuat di Balai Polis Sarikei,” katanya.
Kalai berkata, nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM103,975 dan kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Bahagian Sarikei untuk siasatan selanjutnya.
PPM mengalu-alukan orang awam dan agensi kerajaan lain menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti – aktiviti jenayah untuk tindakan pencegahan dan pembanterasan.
Sebarang maklumat boleh disalurkan terus ke pejabat PPM W.5 dengan menghubungi talian 082-334111 atau faks maklumat ke 082-344780. – SarawakVoice.com