Penyingkiran Mukhriz: PAS dijangka kuasai semula Kedah PRU-14

 

Dua minggu lalu saya berkesempatan berkunjung ke Alor Setar, Kedah ketika krisis politik Kedah mulai tercetus. Dalam perjalanan dari lapangan terbang menuju ke sebuah hotel di tengah bandar, pemandu teksi yang memakai baju putih bersih, terus meluahkan perasaannya tentang krisis yang berlaku.

“Rakyat Kedah tak suka apa yang berlaku sekarang. Mereka sayang Mukhriz. Mukhriz pemimpin muda yang faham akan masalah golongan muda dan rakyat Kedah,” katanya.

“Bagaimana Mukhriz boleh diminta turun hanya kerana beliau mengkritik tentang isu 1MDB. Banyak lagi isu lain seperti Tabung Haji, derma RM2.6 bilion dan sebagainya. Adakah pemimpin muda itu terjebak dalam skandal besar atau salah guna kuasa? Kalau ya, tak salah minta beliau berundur.”

Kedah Darul Aman, kini tidak lagi aman dari segi politik. Politiknya berkocak dan bergelora, sekali gus memberi harapan baharu kepada PAS untuk merampas kembali kuasa daripada UMNO.

Namun, selepas drama selama dua minggu, akhirnya anak Tun Dr Mahathir itu kelihatannya tidak punya pilihan.

Mukhriz sudah hampir sampai ke hujung jalan. Difahamkan, tekanan terhadap Menteri Besar itu semakin memuncak menjelang petang semalam apabila beliau diminta menandatangani dokumen yang telah diediakan, meminta beliau berundur. Ini berikutan perbincangan tertutup beberapa ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di Wisma Darul Aman.  Penasihat Undang-undang Negeri dan Setiausaha Negeri dikatakan turut berjumpa dengan Mukhriz berkaitan surat berkenaan — sekali gus menutup segala peluang untuk beliau terus menerajui Kedah. Mukhriz terperangkap antara setia pada Presiden parti dan sayang kepada ayahnya. Ditelan mati emak diluah mati bapa.

Dalam kumpulan Whatsapp penulis dengan pemerhati politik di negara ini, penulis menerima berita awal pagi tadi.

Sekitar pukul satu pagi  diterima satu kenyataan memaklumkan bahawa satu sidang media Menteri Besar akan diadakan di Bilik Gerakan Negeri, Aras 6, Blok E, Wisma Darul Aman, pukul 10.00 pagi.  Sudah hampir pasti ADUN Bakar Bata tempat penulis pernah tinggal selama tiga bulan pada 1982 dahulu, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, akan diangkat menjadi Menteri Besar baharu.

Meskipun demikian, difahamkan Jemaah Pemangku Sultan Kedah cenderung ADUN Guar Chempedak Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail dipilih menggantikan Mukhriz, memandangkan berbanding Ahmad Bashah yang dikatakan hanya punya SRP, Ku Rahman memiliki ijazah daripada universiti ternama di Britain.

Pelantikan Menteri Besar baharu dijangka diadakan esok.

Tersebar berita sebelum ini, daripada sumber dalaman di Kedah bahawa kemungkinan Mukhriz mewujudkan kerajaan perpaduan dengan PAS.  Mengikut beliau, isu Mukhriz ini berkaitan bagaimana ia disalah urus.

“Sebarang bentuk pertukaran jawatan dalam kerajaan perlu dibuat secara berhemah dan terhormat. Ia tidak wajar buat secara penyingkiran dan kenyataan akhbar yang berbentuk tuduhan yang mengaibkan,”

Tambah beliau lagi: “Tindakan penyingkiran yang berpunca daripada perbezaan politik hanya akan mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat terutama yang mempunyai pandangan memihak.”

Mukhriz telah dituduh sebagai Menteri Besar separuh masa kerana sebahagian masa beliau didakwa golongan yang menentang, berada di Kuala Lumpur.

Tuduhan lain ialah beliau tidak dapat menjalinkan kerjasama dengan ketua bahagian UMNO, serta tidak punya perancangan dan strategi untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Krisis politik ini mula tercetus 14 Januari lalu apabila  14 Ketua Bahagian UMNO hadir dalam sidang media di Hotel Grand Alora, mendakwa bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar.

Petang semalam, sekali lagi kumpulan pemipin Barisan Nasional berada di tingkat 16  hotel yang sama — menunggu perkembangan terbaharu dari Wisma Darul Aman. Hanya selepas sekitar 7.30 malam baru satu berita melegakan diterima, memnyatakan akhirnya Mukhriz bersedia melepaskan jawatannya.

Persoalannya, mungkinkah pisang akan berbuah dua kali bagi UMNO/BN di Kedah? Maksudnya, adakah dengan penyingkiran Mukhriz ini, rakyat Kedah akan menyurakan kemarahan terhadap UMNO, dan seterusnya memungkinkan PAS menguasai semula kerajaan Kedah dalam PRU-14 nanti.

Sementara itu, dalam sidang media di Wisma Darul Aman pagi tadi, Mukhriz berkata usaha untuk menyingkirkannya tidak akan menyebabkannya mendiamkan diri daripada mengkritik isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion.

“Tetapi sekarang saya rasa merdeka dan bebas dan tidak akan berdiam diri,” katanya.

Mukhriz berkata dia tidak akan bersara daripada politik: “Tidak, ia darah daging saya. Jika rakyat masih mahukan saya, saya akan teruskan.

Beliau juga memberitahu  bahawa beliau menolak tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk jawatan timbalan menteri.

Mungkinkah Mukriz akan dipecat dari UMNO?- SarawakVoice.com