Perdana Menteri yakin rakyat Sarawak rata-rata menerima kepemimpinan Barisan Nasional di bawah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Tan Sri seorang pemimpin yang memahami dengan mendalam kemahuan dan keperluan masyarakat tempatan. Beginilah pemimpin yang kita mahukan, yang rakyat perlukan. “ kata beliau dalam blog NajibRazak.com.

Datuk Seri Najib Razak berkata, berdasarkan pengamatanya, Adenan juga tidak pernah segan silu untuk menyuarakan pendapat dan cadangan beliau bagi rakyat dan Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.

“Insya-Allah, tiada lautan yang dapat memisahkan persaudaraan dan persefahaman antara kami di bawah payung Barisan Nasional” katanya.

Najib berkata, Adenan Satem dan beliau akan meneruskan usaha mereka untuk merancang rapi dan berusaha memajukan Sarawak agar negeri  ini menikmati hasil pembangunan dan kemakmuran negara secara saksama.

“Tidak kira sama ada di pedalaman atau di bandar, tidak ada sesiapa yang akan diabaikan dan ketinggalan dalam pentadbiran saya.Inilah komitmen saya kepada Tan Sri Adenan Satem dan rakyat negeri Sarawak.”

Di bawah kepemimpinan Najiib, beliau telah meluluskan projek benilai berbilion-bilion ringgit untuk sarawak, termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Jambatan Batang Sadong, penambahbaikan infrastruktur terutamanya institusi pengajian yang telah usang dan sebagainya.

“Semua ini telah pun dimulakan dan akan terus dirancang bagi memastikan rakyat Sarawak kekal seiring bersama arus pemodenan negara,” kata beliau.

Perdana Menteri menjelaskan, Kerajaan Persekutuan akan terus memacu pertumbuhan Sarawak agar setaraf dengan kemajuan di Semenanjung Malaysia.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri telah membangkitkan perkara-perkara amat munasabah berkaitan penurunan kuasa, dan perbincangan juga berlangsung dalam suasana yang positif.

“Insya-Allah, proses ini, walaupun mengambil masa, adalah untuk kebaikan masa depan Sarawak dan penduduknya.”

Sarawak mempunyai potensi yang amat besar, dan Perdana Menteri amat yakin bahawa hari ini kita mempunyai kombinasi yang tepat, dari segi sumber hasil bumi, tenaga kerja, semangat jitu rakyat dan kepemimpinan berkaliber untuk Sarawak mencapai potensi tersebut.

Tambah beliau; “Tidak lama lagi juga, kita akan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak. Saya mahukan semua pihak, dari pucuk pimpinan parti hinggalah ke peringkat akar umbi, untuk kekal bersatu dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai yang terutama.”

Beliau tidak mahu  sebarang kepentingan peribadi menjadi batu penghalang kepada kejayaan Barisan Nasional untuk terus menerajui serta membela nasib rakyat Bumi Kenyalang.

Bagi beliau, apa-apa sahaja keputusan yang dibuat oleh kepimpinan Barisan Nasional Pusat dan Negeri hanyalah demi mengukuhkan parti dan memastikan kita kekal memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Sarawak.

Beliau menyeru rakyat agar merapatkan saf, meneguhkan perpaduan, dan beliau pastikan Sarawak kekal di bawah Barisan Nasional! – SarawakVoice.com