ALOR SETAR: Datuk Seri Mukhriz Mahathir pagi tadi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Kedah, selepas dinasihati Jemaah Pemangku Sultan Kedah, apabila kehilangan sokongan majoriti dalam undian sulit yang diadakan oleh jemaah tersebut.

Mukriz berhenti 02
Timbalan Ketua Badan Perhubungan Umno Kedah, yang juga ADUN Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah kemudian diangkat menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar yang baharu.

Mukhriz membuat pengumuman itu dalam satu sidang media di pejabat pentadbiran negeri di Wisma Darul Aman hari ini.

Ia sekali gus mengakhiri kemelut dua minggu dalam kepimpinan Umno Kedah yang mahu beliau berundur.

Mukriz berhenti 03Dalam pengundian sulit tersebut, seramai 21 ADUN BN dan 15 ADUN pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah telah menyuarakan pandangan mereka kepada Jemaah Pemangku Sultan Kedah pada hari Isnin dan Selasa lalu.

Pelantikan Ahmad Bashah pula diumumkan dalam satu sidang media khas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din pagi ini.

Spekulasi bahawa Kedah akan mendapat MB baru hari ini bertiup kencang sejak semalam apabila Mukhriz membatalkan mesyuarat exco kerajaan negeri pada pagi ini, malah semua media menerima jemputan mengenai sidang media tersebut sekitar 11.30 malam tadi.

Anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu menjawat Menteri Besar Kedah pada 6 Mei 2013 selepas memimpin BN merampas negeri itu dari PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Bagi penganalisis politik, pengunduran Mukhriz ini dilihat sebagai mangsa episod terkini drama politik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan pelbagai skandal yang dialaminya.

Ekoran skandal tersebut, beliau telah memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan beberapa pegawai kanan kerajaan, termasuk Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail.

Umno Kedah bagaimanapun memberi alasan berbeza dengan berkatq desakan itu berpunca daripada kegagalan Mukhriz menyatupadukan parti dan tidak mempunyai strategi membangunkan negeri itu.

Mukhriz bagaimanapun memberi jaminan beliau tidak akan keluar dari UMNO dan akan tetap setia kepada parti tersebut.

Mukriz merupakan menteri besar kedua di negara ini yang diundurkan dari jawatan selepas PRU13.

Pada tahun lalu, Tan Sri Khalid Ibrahim turut diarahkan berhenti daripada jawatan MB oleh kepemimpinan PKR dan diganti dengan Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden parti terbabit. – SarawakVoice.com

Mukriz berhenti 00 Mukriz berhenti 01