TPPA: Industri kelapa sawit terima tempias positif

KUCHING: Industri kelapa sawit di negara akan menerima kesan “sangat” positif setelah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dimeterai nanti.

Menteri Perusahaan Perlada­ngan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata, jika sebelum ini sesetengah negara menguatkuasakan cukai eksport terhadap komoditi ini, pasca perjanjian nanti akan menyaksikan cukai berkenaan dihapuskan.

” Ini akan menjadikan industri ini lebih kompetitif berbanding pengeluar kelapa sawit yang tidak menyertai TPPA,” katanya.

Jelas Uggah, pengalaman sebegini boleh dilihat dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA) bersama Turki yang kini sedang berjalan.

” Dalam beberapa bulan sahaja, eksport telah meningkat hampir 200 peratus disebabkan penyerapan cukai menerusi perjanjian itu,” katanya ketika ditemui selepas merasnikan Seminar dan Dialog ‘Reach and Remind Friends of The Industry’ 2016 di Kuching hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Komoditi) kementerian, Datuk M. Nagarajan; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Dr. Choo Yuen May dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit, Tan Sri Dr. Yusof Basiron.

Mengulas lanjut, Douglas berkata, pendapatan eksport sektor kelapa sawit pada tahun lalu adalah sekitar RM60 bilion — agak menurun sedikit berbanding tahun sebelumnya.

Terdahulu, Uggah dalam ucapannya memaklumkan, kementeriannya sedang melihat kemungkinan mewajibkan pensijilan piawaian Kelestarian Minyak Sawit Malaysia (MSPO) untuk manfaat industri dalam jangka panjang di negara.

” Oleh itu, kementerian saya telah menubuhkan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) bagi memacu promosi MSPO dan memastikan ia diiktiraf sebagai antara negara pengeksport, termasuk di Eropah dan Amerika Syarikat.

” Saya berharap semua rakan utama industri termasuk pekebun kecil dapat bekerja secara kolektif untuk mempromosikan MSPO dan memastikan ia diterima sebagai penanda kepada persijilan kelapa sawit,” ujarnya. – SarawakVoice.com