Terbelakah nasib kita selepas TPPA dilaksanakan?

Jika dibandingkan gaji permulaan yang diterima pemegang ijazah semasa mereka memasuki pasaran kerja di negara ini, katakan bagi tahun 1996 dan 2016, pastinya kita akan berasa amat sedih. Sepanjang tempoh 20 tahun itu, gaji bagi pemegang ijazah yang baru memasuki pasaran kerja samacam tidak berubah, sedangkan dalam tempoh tersebut, harga barang, tambang pangangkutan, sewa rumah dan sebagainya melambung naik berkali ganda.

Gaji permulaan bagi pemegang ijazah di sektor bank dan kerajaan (pegawai tadbir dan diplomatic N41) pada tahun 2016 adalah sekitar RM2600.00 dan RM2900.00 sebulan. Pada tahun 1996, gaji permulaan bagi di sektor bank ialah sekitar RM2000.00 hingga RM2500.00. Kenapa dalam tempoh 20 tahun ini, pergerakan gaji, khususnya di sektor swasta semacam tidak bergerak naik seiring dengan kenaikan harga barang?

Pada tahun 1996, harga segelas teh tarik hanyalah 70 sen dan teh ais hanya 90 sen. Tahun 2016, terdapat kedai yang menjual teh tarik dengan harga RM4.00 dan teh ais dengan harga RM4.50. Dua minggu sudah, kedai yang menjual milo ais dengan harga RM6.50 segelas, menjadi salah satu bahan berita utama apabila kedai tersebut dikunjungi oleh pegawai penguatkuasa.

Dalam situasi sedemikian, generasi muda sekarang sebenarnya memiliki kuasa beli yang lebih kecil walaupun angka gajinya seakan-akan naik sedikit berbanding dengan generasi yang memasuki pasaran kerja pada tahun 1996. Adakah  para pemimpin kita sedar akan realiti ini?

Semasa mengikuti perbahasan di parlimen mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada 26 dan 27 Januari 2016, saya tertanya-tanya ahli parlimen manakah yang dapat memberi pencerahan meyakinkan mengenai TPPA berhubung dengan nasib pekerja, khususnya berkaitan dengan aspek pergerakan gaji.

Sebelum itu, keputusan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed membawa isu TPPA untuk dibahaskan di parlimen perlu diberi pujian. Langkah tersebut menunjukkan kerajaan mengamalkan sikap yang telus dan menghargai perbezaan pendapat.

Memang benar, fokus TPPA ialah terhadap perdagangan dan pelaburan. Namun, beberapa aspek penting yang lain turut dirangkumi,  antaranya adalah seperti pembelian oleh kerajaan, hak intelektual, dasar yang melindungi kepentingan bumiputera, buruh, alam sekitar dan lain-lain. Perkara yang melibatan buruh antaranya termasuklah kebebasan  berpesatuan, gaji minimum, rundingan perusahaan dan pengharaman penggunaan buruh kanak-kanak.

Bagi hal yang penting untuk masa hadapan negara seperti TPPA ini, ahli parlimen kita seharusnya mengambil sikap meletakkan kepentingan rakyat melangkaui kepentingan parti dan berusaha mencari mekanisme yang terbaik untuk kepentingan rakyat. Malangnya saya dapati perkara tersebut tidak berlaku dan perbahasan  mengenai TPPA tidak terlepas daripada pengaruh politik kepartian.

Pihak pembangkang melihat TPPA tidak membawa kebaikan kepada masyarakat. Isu ‘investor-state dispute settlement’ (ISDS) di mana pelabur boleh menyaman pihak kerajaan di mahkamah mandapat perhatian utama ramai jurucakap parti pembangkang. Kebimbangan mereka nampaknya tertumpu kepada aspek ‘kedaulatan negara’, penjajahan ekonomi oleh kuasa besar, kemampuan industri dan syarikat-syarikat tempatan untuk bersaing di pasaran antarabangsa dan seumpamanya.

Di pihak kerajaan pula, hanya aspek positif berkenaan TPPA dikemukakan. Mereka berusaha menyakinkan dewan dengan berhujah bahawa TPPA menguntungkan negara, membuka peluang kepada kemasukan palabur asing, memperluaskan pasaran eksport dan tidak TPPS tidak dimonopoli oleh Amerika Syarikat (kerana template Malaysia seperti produk halal dan perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bumiputera diterima pakai). Berkenaan ISDS, syarikat-syarikat milik Malaysia yang berada di luar negara turut dilindungi dan antaranya yang pernah mendapat manfaat. Contohnya dalam kes Telekom Malaysia (TM) yang pernah menyaman kerajaan Ghana pada tahun 2004.

Seperti dijangka, Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing telah meluluskan usul mengenai TPPA pada pengundian yang diadakan pada 27 dan 28 Januari 2016. Dengan itu, satu lagi sejarah besar dalam hala tuju perkembangan ekonomi negara tercatat pada minggu lalu apabila kedua-dua dewan tersebut merestui penglibatan Malaysia  dalam TPPA yang akan ditandatangani di New Zealand pada 4 Februari 2016.

Meskipun begitu,  masih ada soalan besar yang masih belum terjawab di minda saya, iaitu adakah dengan menjadi anggota TPPA, nasib pekerja di Malaysia, khsusus dalam isu gaji akan menjadi semakin baik? Persoalan ini tidak dibahaskan oleh mana-mana ahli parlimen sepanjang dua hari sesi perbahasan tersebut diadakan.

Apa yang ditimbukan mengenai pekerja ialah kemungkinan pekerja tempatan mungkin dibuang atau dipinggirkan, pelabur asing membawa pasukan pengurusan daripada luar negara dan pekerja asing boleh memimpin kesatuan sekerja.

Beberapa minggu yang lalu, soalan tersebut saya ajukan kepada seorang rakan  baik saya yang banyak melakukan kajian dalam bidang perdagangan antarabangsa dan ekonomi sumber. Beliau yang saya maksudkan ialah Profesor Dr Jamal Othman yang bertugas di Fakulti Ekonomi (UKM) yang juga Timbalan Pengerusi bagi Kluster Ekonomi di bawah Majlis Profesor Negara (MPN).

Mengikut Profesor Dr Jamal Othman, penyertaan Malaysia dalam TPPA akan menguntungkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang ada di negara kita dengan syarat mereka perlu buat beberapa perubahan yang yang sesuai dengan kehendak pasaran. Berkaitan dengan isu gaji, semua negara di Asia Tenggara, kata beliau, hadapi masalah yang sama seperti kita alami semenjak 20 tahun yang lalu. Ini adalah berikutan lebihan penawaran buruh yang terdapat dalam pasaran kerja di Asia Tenggara yang tidak mampu dikawal oleh pihak kerajaan.

Dalam kita merancang untuk mencapai status negara maju, kebajikan pekerja, khsusnya dalam aspek gaji perlu dititikberatkan. Pemenang anugerah nobel dalam bidang ekonomi, iaitu Profesor Amartya Sen pernah menyatakan bahawa negara-negara maju berjaya mencapai status sebagai sebuah negara maju  kerana  mempunyai polisi untuk menjaga kebajikan pekerja. Dengan kata lain, kita mesti berusaha memastikan para pekerja turut sama menikmati kesejahteraan ekonomi dan bukannya golongan pengusaha atau pemodal sahaja.

Sehubungan itu,  dalam masa dua tahun sebelum TPPA dikuatkuasakan (dijangka pada awa 2018) kerajaan perlulah memperkenalkan suatu mekanisme untuk memastikan kenaikan pergerakan gaji, khususnya di sektor swasta berlaku. Selama dua dekad kita telah terlepas pandang isu ini. Jangan kita biarkan isu ini berlarutan untuk satu dekad lagi. Jika rakyat mahu diyakinkan bahawa TPPA beri keuntungan kepada mereka, isu gaji perlu ditangani dengan praktikal dan bukan hanya sekadar retorik.

Pendapatan pekerja adalah salah satu ukuran yang digunakan untuk mengukur berjaya atau tidak sesebuah negara  mencapai status sebagai negara maju. Tidak ada negara di dunia yang akan mengiktiraf kita sebagai negara maju sekiranya kuasa beli pekerja  kita semakin merosot dan kesejahteraan ekonomi tidak dapat dirasai secara menyeluruh dalam masyarakat. Adakah cahaya dihujung terowong bagi permasalahan ini?