Satu maut setiap hari di jalan raya Sarawak

KUCHING: Sekurang-kurangnya seorang maut setiap hari di Sarawak akibat kemalangan jalan raya, sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Abdul Aziz Yusuf berkata, jumlah itu menyumbang kepada 422 kematian yang dicatatkan di atas jalan raya negeri ini dalam tempoh 365 hari tahun lalu.

” Perkembangan itu amat membimbangkan apatah lagi, kebanyakan kemalangan ini disumbangkan oleh kelalaian dan kecuaian pengguna jalan raya,” katanya melancarkan Op Selamat 8/ 2016 sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Tebingan Kuching

12650330_1108460725854597_670708057_n

Menurutnya, rekod polis mencatatkan kadar kemalangan jalan raya di negeri ini sepanjang tahun lalu adalah sebanyak 19,098 kes, meningkat 6.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, 17,857 kes.

Justeru itu, kata Aziz, penting untuk semua pengguna jalan raya di negeri ini memantapkan budaya pemanduan selamat agar kadar kemalangan jalan raya ini dapat dikurangkan.

” Kita tidak mahu lagi ada kemalangan maut ini. Kita mahu statistik kemalangan maut ini kosong,” katanya.

Oleh itu, kata Aziz, penting untuk semua pihak menangani isu ini secara holistik, dengan melakukan intervensi dengan kaedah 5E.

” Ia merangkumi pendidikan (education), penguatkuasaan (enforcement), kejuruteraan (engineering), persekitaran (environment) dan penilaian (evaluation),” tambahnya.

Op Selamat 8 yang dilancarkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina akan dilangsungkan dari 1 hingga 15 Februari ini.

12665731_1108457972521539_2133073488_n

Dengan tema ” Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”, operasi ini memberi tumpuan kepada pesalah trafik sambil menggiatkan rondaan pencegahan jenayah di kawasan perumahan.

” Malah kita menggunakan pendekatan “penguatkuasaan menyeluruh’ dengan semua aset polis digerakkan untuk pengawasan secara ‘mobile’ , di samping pengawasan statik di lokasi strategik menggunakan ‘beacon light’ dan ‘fire ball’. – SarawakVoice.com