Sarawak Singapura meterai perjanjian pelancongan

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak hari ini memeterai persefahaman dengan Kerajaan Singapura dalam memantapkan kerjasama pembangunan pelancongan kedua-dua negara.

Menurut Pengarah Asia Tenggara Singapore Cooperation Enterprise, Kelvin Chong, bentuk kerjasama itu masih belum dimuktamadkan tetapi kemungkinan besar adalah membawa para pelabur dan kepakaran Singapura dalam membangunkan sektor pelancongan di negeri ini.

” Kami amat gembira berkongsi pengalaman Singapura dalam sektor pelancongan dan ia merupakan semangat perjanjian (persefahaman) yang kita tandatangani sebentar tadi,” katanya kepada wartawan sebaik sahaja majlis menandatangani persefahaman (Mou) di antara Singapore Cooperation Enterprise dan Lembaga Pembangunan Pemulihan Tanah Sarawak di Pejabat Ketua Menteri Sarawak di sini petang tadi.

Majlis tersebut disaksikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan.

Turut hadir, Menteri Pelancongan Sarawak yang juga Pengerusi PELITA, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg.

Mengulas lanjut, Chong berkata, kedua-dua pihak juga berbincang lanjut mengenai potensi projek yang boleh dimajukan.

” Sarawak memiliki keindahan aset alam sekitarnya, hutan hujan malah gua-gua bersaiz gergasi seperti yang ada di Mulu, yang boleh dipromosikan dengan lebih baik lagi kepada dunia luar.

Untuk itu katanya, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan PELITA dan Kementerian Pelancongan dan membantu menjulang profil pelancongan negeri ini ke peta dunia.

Pada masa yang sama katanya, kedua-dua pihak juga melihat kemungkinan untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Sarawak, dengan meningkatkan kekerapan penerbangan harian ke Kuching dari Singapura melalui MAS dan penerbangan tambang rendah Singapura, Silk Air.

” Malah kita melihat juga potensi promosi ini kepada mereka yang transit di Singapura untuk bertandang ke Kuching,” jelasnya.

Jelas Chong, bagi membantu pertumbuhan sektor pelancongan Sarawak, kedua-dua pihak kini sedang
melihat ruang dan sektor yang boleh para pelabur Singapura sertai.

” Kami ingin melihat visi Kerajaan Sarawak terhadap bidang pelancongan mereka.

” Setelah itu, kami akan menyokong visi tersebut dengan membawa peserta yang sesuai untuk datang ke sini, baik sebagai penasihat perundingan mahupun sebagai pelabur,” katanya

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk menjalin perkongsian pengalaman dengan Sarawak dari aspek pelancongan hiburan, memandangkan Singapura memiliki taman tema berkonsep hiburan yang berjaya membawa jutaan pelancong sebulan.

Antara destinasi pelancongan yang terdapat di Singapura termasuklah Taman Tema Universal Studio yang terletak di Sentosa. – SarawakVoice.com