Pejuang S4S jangan melampau

Saya baru balik dari Sarawak dan kagum dengan kecantikan dan pembangunan bandar Kuching. Tetapi yang mengejutkan saya adalah apabila melihat bagaimana hebatnya sentimen Sarawak untuk Orang Sarawak (S4S). Saya melihat bagaimana ada pemandu yang meletakkan stiker di kereta mereka, malah mengecat kereta dengan bendera zaman kolonial. Memang satu ironi.

Sebagai  negara yang mengamalkan sistem federalisme, kita tidak harus dilihat terlalu menyemarakkan semangat kenegerian dan hak negeri semata-mata, tanpa mempertimbangkan kepentingan negeri  lain dan negara pada keseluruhannya. Ketua Menteri Sarawak memang popular, sebahagiannya kerana beliau memperjuangkan hak dan autonomi Sarawak. Tetapi saya ragu masyarakat Cina di Sarawak akan mengundi Barisan Nasional.

Menyuarakan hak Sarawak memang tidak salah. Tetapi menyemarakkan semangat Sarawak untuk orang Sarawak adalah agak melampau. Kita perlu rasional, dan tidak emosional dalam isu ini. Apakah yang akan jadi kepada negara ini jika setiap negeri menuntut hak mereka secara melampau? Kita perlu sedar sementara kita perlu menuntut hak negeri kita sendiri, kita perlu juga memikirkan soal integrasi nasional dan pembinaan negara bangsa.

Kita tidak harus berundur ke belakang. Kita sepatutnya bergerak ke hadapan. Sebelum menuduh saya tidak faham akan Perjanjian 18 Perkara dan Perjanjian Malaysia, saya hendak nyatakan, saya merupakan penuntut sejarah di universiti, dan faham akan hak-hak Sarawak di bawah perjanjian tersebut.

Misalnya, perlukah kita terus berpegang kepada hak Sarawak dari segi imigresen? Sampai bilakah orang  Malaysia dari luar Sarawak hanya diberi tempoh 90 hari untuk tinggal di Sarawak?  Kita perlu ingat peuntukan ini diberi 53 thaun lalu, kerana Sarawak dan Sabah, ketika itu dikatakan masih mundur, dan rakyatnya dibimbangi tidak dapat bersaing dengan mereka dari Malaya.

Tetapi adakah selepas merdeka lebih setengah abad orang Sarawak dan Sabah, masih lagi belum yakin kepada diri sendiri, sedangkan mereka mengakui Sarawak sudah maju. Atas nama integrasi nasional, dan masa depan Malaysia, kerajaan Sarawak perlu memikirkan untuk mengkaji semula hak ini.

Kini, tengok apa yang berlaku? Kerajaan Sarawak telah menggunakan hak itu sesuka hati, dengan menyekat sesetengah pemimpin politik memasuki negeri itu. Saya boleh faham kalau tindakan sedemikian diambil terhadap mereka yang dikategorikan sebagai fanatik atau ekstrem. Tetapi mengapa sekat orang seperti Zuraidah, pemimpin PKR? Adakah takut  akan pengaruh PKR tersebar dengan meluas? Pemimpin politik negeri tidak perlu takut, kerana mereka mempunyai segala kelebihan dalam pilihan raya yang akan datang.

Satu lagi contoh adalah, mempruntukkan 90 peratus  jawatan guru di Sarawak kepada anak Sarawak, dan hanya 10 peratus kepada mereka dari negeri-negeri lain. Dalam tempoh tiga tahun, bolehkah orang Sarawak mengisi semua jawatan terbabit? Kita hendak utamakan kualiti atatau apa? Kita hendak pentingkan semangat kenegerian atau integrasi nasional?

Tuntutan royalti minyak sebanyak 20 peratus adalah satu lagi contoh tidak masuk akal. Kalaulah Petronas tunduk kepada tuntutan kerajaan Sarawak, saya percaya, syarikat itu akan berdepan dengan masalah, apa lagi kalau tuntutan itu dipenuhi ketika harga minyak dunia menjunam

Sarawak perlu mengakui bahawa, kerajaan persekutuan telah banyak membantu dan menyalurkan peruntukan. Berbilion-bilion ringgit telah disalurkan termasuk untuk Lebuh Raya Pan Borneo dan pelbagai kemudahan di Sarawak. Kalau ambil kira RM400 juta yang bakal disalurkan untuk Jambatan Batang Lupar, tentu angkanya bertambah.

Jadi, kalau Sarawak miskin dan di belakang, itu bukan semata-mata kesalahan pemimpin persekutuan. Pemimpin politik Sarawak juga perlu turut memikul beban tanggungjawab itu. Orang Sarawak perlu adil terhadap kerajaan persekutuan. Mereka tidak harus melihat dari perspektif sempit.

Kini, terdapat tujuh orang menteri dari Sarawak. Mereka bukan hanya perlu memenuhi tanggungjawab terhadap Sarawak, tetapi sebagai mentari persekutuan mereka perlu bertangugngjawab terhadap semua negeri di negara ini. Mereka perlu bersikap adil.

Implikasinya, dalam setiap tindakan, kita perlu memikirkan soal negara. Malaysia akan semakin makmur jika kita dapat bersatu, dan negeri-negeri bersaing dengan sihat.