Bahang PRN ke-11 semakin memuncak

BN Sarawak memenangi 55 daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN 2011. Dari segi kawasan, BN kalah hampir di kesemua kerusi bandar dan pinggir bandar.  Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang memperoleh 12 kerusi pada tahun 2006 hanya mampu mengekalkan enam kerusi pada PRN-10 yang diadakan pada 16 April 2011, ekoran masalah dalaman parti.

Kesempatan ini telah beri peluang kepada DAP yang berjaya memperoleh enam kerusi pada PRN-9 melipatgandakan jumlah tersebut kepada 12 kerusi pada PRN-10.  Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menambah jumlah kerusi daripada satu kepada tiga, iaitu di Batu Lintang, Ba’Klalan, dan Krian. Dari segi undi popular, dalam PRN-10 tersebut, SUPP memperoleh 111,781 undi bagi enam kerusi yang dimenangi, manakala DAP memperoleh 134, 847 undi bagi 12 kerusi yang dimenangi. Mengimbas kembali keputusan PRN yang lepas, tiada istilah ‘kubu kuat’ di mana-mana kerusi untuk parti-parti daripada BN mahupun pembangkang kerana kerusi-kerusi tersebut sering bertukar tangan.

Berdasarkan formula yang diguna pakai sebelum ini, SUPP dan DAP seperti biasa dijangkakan akan bertanding di kerusi majoriti pengundi Cina, khususnya bagi kerusi N9. Padungan, N10. Pending, N11. Batu Lintang, N12. Kota Sentosa, N13. Batu Kawah, N39. Repok, N40. Meradong, N45. Bukit Assek, N46. Dudong, N47. Bawang Assan, N48. Pelawan, N59. Kidurong, N63. Piasau, N64. Pujut, dan N65. Senadin. Meskipun hakikatnya, kedua-dua parti berkenaan adalah bersifat multietnik, sukar untuk mereka mengelakkan diri daripada dicop sebagai parti Cina.

Perkembangan semasa landskap politik di Sarawak menyaksikan DAP telah mengumumkan hasrat untuk turut bertanding di kerusi majoriti Dayak dalam PRN akan datang, selain daripada 12 kerusi yang disandang sekarang. Jumlah sebenar hanya akan diketahui selepas selesai rundingan mereka dengan PKR. Namun, ketiadaan Wong Ho Leng (N45 Bukit Assek) mantan pengerusi DAP Sarawak sudah pasti akan memberi impak berbeza kepada jentera pilihan raya DAP akan datang.

Dalam masa sama, SUPP yang diramal akan memperoleh satu kerusi tambahan hasil daripada persempadanan semula diramal akan meneruskan tradisi mereka bertanding di kesemua 19 kerusi yang ditandingi dalam PRN yang lepas.

Begitu pun cabaran kepada SUPP untuk kerusi N1. Opar, N16. Bengoh (kini dikenali Mambong), N28. Engkilili, dan N52. Dudong apabila keempat-empat ADUN SUPP tersebut keluar daripada parti yang merupakan salah satu daripada empat parti komponen BN Sarawak (selain PBB, PRS, & SPDP). SPDP juga berdepan dengan senario sama apabila enam daripada ADUN mereka keluar parti. Begitu pun kedua-dua parti SUPP dan SPDP dilihat sudah mempunyai pendirian dan tidak akan berganjak daripada keputusan mereka.

Meskipun Ranum Mina (Opar), Datuk Dr Jerip Susil (Bengoh), Johnical Rayong (Engkilili), dan Dato Sri Wong Soon Koh (Bawang Assan) mengisytiharkan diri mereka BN-Plus atau BN friendly, hakikatnya, mereka bukan daripada parti komponen BN dan tidak memenuhi syarat untuk bertanding bawah tiket BN. Untuk menjadi parti komponen BN pun mesti mendapat persetujuan daripada Dewan Tertinggi BN. Parti-parti komponen BN di seluruh Malaysia sudah pasti sedang mengikuti rapat perkembangan politik ini dan tidak mahu nasib serupa menimpa mereka.

BN Sarawak sebelum ini juga pernah mempunyai seorang ADUN yang tidak mewakili mana-mana parti, iaitu Larry Sng (Pelagus), malahan beliau juga merupakan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri sehinggalah DUN Sarawak dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRN-10. Beliau memohon menjadi anggota langsung BN untuk membolehkan beliau bertanding atas tiket BN. Namun, permohonan beliau ditolak. Ini telah mendorong beliau mematalkan hasrat untuk bertanding pada PRN yang lalu. – SarawakVoice.com