PKR tampil 30 calon

15 lagi diumum kemudian

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam mengumumkan senarai nama 30 calonnya yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 pada April ini.

Menurut Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian, beliau akan mengetuai senarai calon tersebut dengan mempertahankan DUN Ba’ Kelalan.

Turut mempertahankan jawatan ialah dua lagi ADUN PKR iaitu Sng Chee How di DUN Batu Lintang dan Ali Biju di DUN Krian.

” Dengan latar belakang yang pelbagai sertpa profesional, PKR akan menampilkan calon-calon boleh menang dan dijangka mampu menggugah penyandang-penyandang kerusi BN yang sedia ada,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Pusat Operasi parti tersebut di Batu Tiga, Kuching.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Wan Azizah Ismail, yang turut menyaksikan pelancaran tema ” All For Sarawak” untuk kempen pilihan raya PKR kali ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Umum PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali.

Antara calon yang diumum semalam termasuklah Ketua Wanita PKR, Nurhanim Hanna Mokhsen di DUN Tupong dan Timbalan Ketua Wanita Pusat, Voon Shiak Ni yang akan bertanding di kerusi baharu, Batu Kitang.

” Di kerusi baharu DUN Serembu, PKR akan menurunkan Athina Klaywa Sim, Reginald Abell Gaok di DUN Triboh dan Jamilah Baharuddin di DUN Simunjan.

” DUN Murum pula akan ditandingi oleh Abun Sui Anyit manakala DUN Mulu diwakili Paul Baya,” katanya lagi.

Menurut Baru, 15 kerusi lagi yang bakal ditandingi masih lagi dalam perundingan di antara parti tersebut dengan Pakatan Harapan dan PAS.

” Kami yakin akan dapat melakukan beberapa kejutan pada pilihan raya kali ini terutama di beberapa kerusi baharu.

” Malah kami lebih bersedia dengan adanya pusat operasi pilihan raya di sini, selain di Sibu dan Miri,” katanya.

Jelasnya, berbanding penggal-penggal lalu, PKR lebih bersedia pada kali ini dengan memilih calon-calon muda, berpengalaman dan aktivis berjiwa rakyat.

” Kita telah membuat kejutan pada pilihan raya lalu dan yakin pada kali ini, kita akan dapat menambah bilangan kerusi yang diwakili,” katanya. – Sarawak Voice