Perebutan SPDP-Teras panaskan kerusi Marudi

MARUDI: Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N66 Marudi memasuki episod baharu apabila Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, calon untuk ” kerusi panas” itu belum diputuskan.

Adenan ketika ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-9 berkata, dia akan memilih calon yang bakal mendapat undi terbanyak.

Ketika ini dua nama yang bertembung dan berebut kerusi tersebut ialah penyandang, yang kini Setiausaha Agung Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Datuk Sylvester Entri Muran dan calon Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP), Datu Dr Pengguang Manggil.

Berikutan krisis yang berlanjutan antara kedua-dua parti tersebut, Parti SPDP kini berusaha untuk menyingkirkan Entri Muran, atas alasan parti yang diwakilinya bukan sebahagian daripada parti komponen BN.

“Malah kerusi itu harus kekal milik SPDP kerana dalam pilihan raya, kerusi harus kekal milik parti, dan bukan mengikut penyandang,” jelas seorang pemimpin kanan SPDP yang enggan dikenali.

Oleh itu, katanya, parti SPDP menerusi Setiausaha Agungnya yang juga Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau awal-awal lagi mengumumkan bekas Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Komuniti dan Kerajaan Tempatan, Datu Dr Pengguang Manggil sebagai calon pilihan.

Sejak beberapa bulan lalu, Pengguang mula diperkenalkan kepada penduduk di kawasan tersebut dan kini aktif menghadiri pelbagai aktiviti di sana.

“Dr Penggung merupakan tempatan, berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan diakui kebolehannya,” kata sumber itu lagi.

Pada sambutan Ramah Tamah Aidilfitri di Dewan Suarah Baram, Julai lalu, Adenan mengumumkan Entri Muran sebagai calon boleh menang bagi DUN tersebut.

Beliau mengumumkan perkara itu di hadapan 3,000 penduduk yang hadir sambil menyifatkan sejarah Entri yang menang pada PRN  tahun 1996, 2001, 2006 dan 2011 sebagai bukti.

Penguang pula dalam satu majlis berjaya menghimpunkan 3,000 penduduk beberapa minggu lalu.

Ketika kedua-dua pihak berebut menjadi  calon BN, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calon wanita, yang juga Ketua Biro Pendidikan Negerinya, Elia Bit sebagai pencabar mana-mana calon BN.

Elia, 27 tahun daripada etnik Penan, adalah lulusan bidang linguistik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan memiliki sarjana Peperangan Maklumat Media dari Universiti Teknologi Malaysia.

Kini Elia bergerak aktif sebagai aktivis Jaringan Orang Asal Se-Malaysia.

Pada PRN 2011, Entri Muran memperoleh majoriti 3,202 setelah mengutip 4,578 undi untuk mengetepikan tiga pencabar lain dari PKR, Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon Bebas. – Sarawak Voice