Pengundi Cina akan terus sokong DAP – Penganalisis politik

KUCHING –    Pengundi Cina dijangka tidak akan banyak berubah dari segi pola pengundian dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11.

“Segala transformasi yang dilaksanakan oleh Ketua Menteri tidak banyak mengubah pendirian masyarakat Cina. Mereka pengundi yang pragmatik. Tindakan beliau menambah peruntukan untuk sekolah Cina dan mengiktiraf   Unified Examination Certificate (UEC), tidak memungkinkan kita menyaksikan ayunan undi yang besar. Mengharapkan pengundi Cina beralih angin dan menyokong Barisan Nasional secara besar-besaran adalah hanya satu mimpi,” kata penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak Profesor Madya Dr Jeniri Amir.

Dalam pilihan raya ke-10 pada 2011, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) hanya meraih 30.02 peratus undi  berbanding DAP  44.64 peratus undi. Dalam pilihan raya itu, Barisan Nasional memperoleh 372,379 atau 55.36 peratusan undi, berbanding pembangkang 300,288 atau 44.64 undi.

Mengikut Jeniri,  undi Cina telah merosot sebanyak 12.9 peratus dalam pilihan raya tersebut, iaitu daripada 50.7 peratus kepada 37.4 peratus. Undi masyarakat Iban pula merosot 14.1 peratus dan Bidayuh sebanyak 13 peratus, dan hanya undi masyarakat Melayu/Melanau meningkat sedikit sebanyak 1.3 peratus.

“Memang menjadi cabaran kepada BN untuk menakluki jiwa dan minda pengundi Cina agar mengundi parti yang mewakili BN. Dengan DAP yang semakin ghairah untuk menambah jumlah kerusi sebagaimana ditunjukkan daripada hasratnya untuk bertanding di sekurang-kurangnya 35 kerusi, maka jangan hairan, DAP akan dapat mengekalkan kerusi yang ada, tambah beliau.

Beliau mengakui sukar bagi DAP untuk memenangi sebarang kerusi di luar bandar atau separa bandar, tetapi mengakui bahawa kerusi yang menarik untuk diberikan perhatian ialah Batu Kitang yang mempunyai sekitar 60 peratus pengundi Cina. Batu Kitang merupakan satu daripada 11 kerusi baharu ekoran persempadan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Batu Kitang terdiri daripada pengundi yang sebahagiannya daripada kerusi Batu Kawad an sebahagian lagi daripada kerusi Kota Sentosa.

Meskipun popularit Tan Sri Adenan Satem begitu tinggi, namun Jeniri menjelaskan, “perbalahan dalaman antara SUPP dan Parti Bersatu Sarawak (UPP), menyebabkan undi yang sepatutnya diberi kepada BN berpecah. Jadi, kalau berlaku pertembungan tiga penjuru antara SUPP, UPP dengan DAP, maka yang meraih keuntungan ialah DAP.”

Beliau menambah, kaum Cina sudah muak dengan perbalahan yang sudah berlarutan sekian lama itu, dan menjangkakan bahawa masalah membabitkan dua buah parti mewakili kaum Cina itu tidak akan dapat diselesaikan, dan kalaupun dapat diselesaikan, sudah agak lewat.

“Lukanya terlalu dalam, dan luka itu kalaupun sembuh, parutnya masih kelihatan,”kata beliau.

Kedua-dua parti itu telah diberi peluang oleh Adenan sebagai Pengerusi BN untuk menyelesaikan masalah mereka, tetapi selepas tarikh akhir Disember lalu, ada petanda bahawa ia tetap akan berlarutan. – Sarawak Voice