Pengumuman awal tarikh pilihan raya tanda demokrasi matang

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem telah membuat pengumuman tentang cadangan  untuk mengadakan  pilihan raya negeri Sarawak yang ke-11. Tarikh  pilihan raya dicadangkan  ialah 30 April, manakala 18 April  sebagai tarikh penamaan calon.

Bagaimanapun, Adenan tidak mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN). Hal ini  kerana pembubaran perlu mendapat nasihat dan persetujuan daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud. Seterusnya,  Speaker akan membuat notis kepada SPR bagi penentuan tarikh penamaan calon dan mengundi.

Adenan juga dilaporkan  menyatakan bahawa beliau sudah bertemu dengan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) dan berbincang tentang cadangan tarikh-tarikh tersebut.

Implikasi Kenyataan Adenan

Ternyata Adenan  telah menegaskan  itu  berupa tarikh cadangan Kerajaan Negeri Sarawak.  Terpulanglah kepada pihak SPR mempertimbangkan cadangan tersebut. Namun cadangan tersebut perlu dilihat dalam beberapa konteks tertentu.

Yang pertama Adenan tidak mahu berteka-teki  atau menyembunyikan tarikh pilihan raya.  Secara langsung, ia mahu semua pihak bersedia untuk menghadapinya. Sepatutnya, semua pihak menghargai kejujuran Adenan kerana membuka ruang demokrasi  yang lebih luas berbanding dengan budaya politik lama selama ini, iaitu membuat kejutan dan menyembunyikan tarikh daripada pengetahuan umum.  

Demokrasi milik semua ahli masyarakat dan bukannya dimiliki oleh pimpinan tinggi  tertentu sahaja.  Pendemokrasian ini memberikan ruang masa tiga  bulan untuk mereka lebih bersedia dan sama-sama bertanding di padang yang rata.

Langkah  tidak berdolak-dalik dan bersembunyi  di sebalik  rahsia penentuan tarikh pilihan raya,  sebenarnya  sejajar dengan sikap gentleman Adenan  dalam berhadapan parti  pembangkang. Namun,  langkah budaya politik baharu  Adenan ini dipersepsikan oleh segelintir pihak seolah-olah mengambil peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) walaupun Adenan sudah menyatakan sudah berbincang dengan pihak SPR.

Keabsahan Undang-Undang

Dari sudut undang-undang, apabila Adenan menyebut ia berupa cadangan pihak Kerajaan Negeri dan ia tertakluk kepada kelulusan SPR, maka tidaklah timbul masalah dari segi interpretasi undang-undang.  Perkataan cadangan itu sendiri  membawa maksud ia bukanlah mutlak atau muktamad sepenuhnya. Sebaliknya, hanya  sah dari sudut undang-undang  hanya apabila dipersetujui oleh SPR. Pihak SPR  yang akan menentukan, menilai dan seterusnya  membuat pengiystiharan melalui Writ of Election. Inilah prosedur rasmi yang akan menyusul kemudian.

Dari segi prosedur undang-undang  apabila DUN dibubarkan, maka Speakar  akan menghantar makluman rasmi kepada SPR.  Berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan,  badan tersebut  diberikan tempoh dalam  masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Penentuan tarikh pilihan raya ditentukan apabila SPR sudah mengadakan perbincangan dengan agensi yang terlibat seperti Kerajaan Negeri agar persetujuan bersama dicapai demi memudahkan tarikh-tarikh dipersetujui bersama. Tarikh yang dimuktamadkan  oleh SPR akan  diumumkan dalam media, seterusnya surat kuasa atau writ diserahkan kepada semua pegawai pengurus pilihan raya  yang membawa kepada proses pengeluaran notis pemakluman tarikh, masa dan tempat penamaan calon.  Tempoh berkempen juga akan diumumkan oleh SPR.

Amalan Negara Maju

Sebenarnya amalan  pengumuman awal tarikh  pilihan raya merupakan amalan negara-negara maju dan kini mulai diikuti oleh negara membangun yang lain.  Ia sebenarnya dapat mengukuhkan amalan dan ruang demokrasi,  seterusnya menunjukkan wujudnya integriti tinggi,  telus dan  tidak ada berat sebelah  dalam kalangan parti pemerintah.

Teka-teki tarikh pilihan raya yang berpanjangan hanya akan merugikan semua pihak lebih-lebih kepada pihak pembangkang. Jadi, sekiranya parti pembangkang melenting akan pengumuman awal tersebut adakah hal ini menunjukkan mereka kurang bersedia dari segi jentera parti?

Begitu juga dalam kalangan  ahli parti memerintah yang  menganggap ia di luar konvensi selama ini  pilihan raya bukan sahaja di Sarawak, malah di peringkat nasional.  Bukankah ini mencerminkan usaha  meluaskan ruang demokrasi dan   mengikis sikap berdolak-dalik atau terus menjadi teka-teki  dalam kalangan rakyat?

Pengumuman awal tarikh  pilihann raya menjadi pengetahuan  umum juga setiap rakyat bersedia untuk merancang balik untuk mengundi.  Pengumuman awal ini  membawa manfaat kepada semua. Pihak  parti pemerintah, pembangkang, atau calon Bebas sekalipun  dapat merancang  secara lebih teratur strategi untuk menghadapi lawan masing-masing.

Rakyat pula dapat merancang jadual kerja, balik kampung dan berfikir lebih panjang dan tenang untuk memilih calon dan parti yang bakal mereka pangkah dalam peti undi!

Bayangkanlah apabila tarikh pilihan raya  terus menjadi teka-teki dan tidak diumumkan kepada pengetahuan umum!